PESANAN MAK PANDU FARRES KE KEJAYAAN

Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 berlangsung hari ini di LYL International Karting Circuit, Monkeys Canopy, menyaksikan aksi sengit dalam kategori Wira KBS apabila pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Farres Putra Md Fadhil, tampil cemerlang mengungguli perlumbaan.

Adi Putra Anahar dari pasukan ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM memulakan perlumbaan dari petak pertama setelah mencatat masa terpantas 1’13.016s dalam sesi kelayakan. Farres memulakan dari petak kedua dengan masa 1’13.982s, manakala rakan sepasukan Adi, Md Akif Abdullah, bermula di petak ketiga dengan 1’14.150s.

Sebaik sahaja perlumbaan bermula, Farres mempamerkan prestasi luar biasa apabila segera merebut kedudukan pendahulu, diikuti rapat oleh Akif dan Adi. Tiga pelumba ini terus mendominasi di hadapan, mencipta jurang 3 saat dengan kelompok kedua seawal pusingan ke-4.

Menarik perhatian ialah aksi cemerlang Md Akid Md Shah Khearul Nisiam dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING, yang memulakan perlumbaan dari petak ke-12. Beliau lincah memintas pelumba dari kelompok tengah dan memasuki pusingan ke-8, Akid berjaya mengekori rapat trio pendahulu selepas memintas beberapa pencabar.

Persaingan kekal sengit sehingga ke pusingan terakhir. Walaupun Akid cuba memintas Akif, usaha tersebut tidak berjaya dan secara tidak langsung memberi kelebihan kepada Farres untuk menjarakkan diri dan melintasi garisan penamat untuk memenangi perlumbaan dengan catatan masa 12’25.887s.

Akif menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa 12’26.348s, diikuti Akid yang melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga dengan 12’26.724s.

Farres berkata “Minggu ini sangat luar biasa buat saya. Pasukan saya bekerja keras sepanjang minggu, mereka bagi sokongan penuh dan benarkan kami berlatih go-kart beberapa hari sebelum perlumbaan. Ia benar-benar membantu saya dalam kawalan jentera. Terima kasih juga kepada mekanik saya yang menyediakan motor dengan begitu baik. Kemenangan ini saya dedikasikan kepada seluruh pasukan. Sepanjang perlumbaan, saya dapat rasa tekanan berterusan daripada Akif, dari pusingan pertama hingga ke akhir. Tapi saya ingat pesanan mak supaya bersabar, tenang dan fokus untuk menang. Alhamdulillah, segalanya berjalan seperti dirancang.”

Top 5 Fastest – Final Race

  1. Farres Putra Md Fadhil – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (12’25.887s)
  2. Md Akif Abdullah – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (12’26.348s)
  3. Md Akid Md Shah Khearul Nisiam – YAMAHA ESTREMO 27 RACING (12’26.724s)
  4. Adi Putra Anahar – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (12’26.824s)
  5. Md Farhan Naqib Md Faiz – DASHOIL BROTHER 7 TECH RACING (12’19.938s)