KASMA, MOMENTUM TANGKAK DIBAWA KE LYL

Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 yang berlangsung di LYL International Karting Circuit, Monkeys Canopy hari ini menyaksikan Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR mencatatkan masa terpantas di sesi kelayakan kategori CP150.

Pada sesi kelayakan 1 CP150 A, Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING mengetuai dengan catatan masa terpantas 1’10.631s, meletakkan Azroy Hakeem Anuar dari HONDA ESTREMO YUZY RACING di tempat kedua pada 1’11.347s, diikuti oleh Danial Syahmi Ahmad Shahril dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR pada 1’11.509s.

Sementara itu, dalam sesi kelayakan 1 CP150 B, Kasma mencatatkan masa terpantas 1’10.104s, menempatkan Md Akid Aziz dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING yang mencatatkan 1’11.486s di tempat kedua, diikuti oleh Shahrol Syazras Shahrol Yuzy HONDA ESTREMO YUZY RACING di tempat ketiga pada 1’12.003s.

Aksi semakin sengit pada sesi kelayakan 2 CP150 A apabila Azroy memperbaiki catatan masanya pada 1’09.964s sekaligus menduduki tempat pertama. Kedua terpantas adalah Md Helmi Azman dari MAEZTRO SCK HONDA RACING TEAM dengan masa terpantas 1’10.505s, dan Ahmad Darwisy Ahmad Sahir dari HONDA ESTREMO YUZY RACING raih tempat ketiga pada 1’10.665s.

Sesi kelayakan 2 CP150 B menyaksikan Kasma sekali lagi membuktikan kemampuannya dengan masa terpantas 1’09.953s menjadikannya pelumba terpantas pad hari ini. Akid mengekalkan konsistensi di tempat kedua dengan 1’10.644s. Manakala rakan sepasukan Kasma, Nazirul di tempat ketiga pada 1’10.870s.

Secara keseluruhannya, Kasma muncul sebagai pelumba terpantas, manakala Azroy dan Helmi mengikuti di tempat kedua dan ketiga masing-masing.

Kasma berkata, “Prestasi saya masih berterusan sejak perlumbaan di Tangkak, semangat kemenangan itu masih membara dan saya bawa ke sini. Saya sendiri tidak sangka, semangat saya kali ini agak berbeza. Keazaman untuk berada di P1 memang tinggi, dan esok masih ada sesi Super Pole serta perlumbaan. Saya belum boleh terlalu selesa kerana ini baru hari pertama, masih ada banyak yang boleh berlaku. Fokus saya sekarang ialah mengekalkan corak pemikiran dan tunggangan. Saya harap dapat kekal konsisten hingga ke perlumbaan esok. Dalam Kumpulan A, ramai pelumba yang lebih pantas, cuma mungkin belum jumpa pelarasan terbaik. Esok masih ada satu peluang terakhir dalam sesi pemanas badan, dan saya harap momentum ini dapat dikekalkan.”