ADI TERPANTAS, BERI AMARAN AWAL

Dalam kategori Wira KBS sempena Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 di LYL International Karting Circuit, Monkeys Canopy, pelumba muda berbakat Adi Putra Anahar dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM menguasai sesi kelayakan dengan catatan masa terpantas, sekali gus meletakkan dirinya sebagai pencabar utama menjelang perlumbaan esok.

Pada Latihan 2, Farres Putra Md Fadhil dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING mencatat masa terpantas 1’14.351s, diikuti Adi Putra dengan 1’15.076s. Md Ikram Dani dari WINBOX KM+ AXLA menamatkan sesi di tempat ketiga dengan masa 1’15.151s.

Namun, segalanya berubah dalam sesi kelayakan, apabila tunggangan Adi menunjukkan peningkatan ketara. Beliau berjaya memperbaiki catatannya kepada 1’13.016s, sekaligus mengungguli carta masa. Farres pula berada di tempat kedua dengan 1’13.982s, manakala Md Akif Abdullah dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM menduduki tempat ketiga dengan 1’14.150s.

Adi berkata, “Pada sesi kelayakan tadi, saya cuba satu pelarasan baru yang disediakan oleh pasukan. Alhamdulillah, pelarasan itu menjadi dan membantu saya mencatat masa yang lebih baik. Saya bersyukur dengan pencapaian hari ini dan berharap dapat terus tingkatkan prestasi untuk perlumbaan esok.”