Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan berlangsung di LYL International Karting Circuit buat kali pertama pada hujung minggu ini. Mampukah Md Syamil Amsyar dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing memperbaiki kedudukan di carta keseluruhan bagi kategori CP125?
Pada pusingan kedua di Tangkak, Syamil telah tampil dengan strategi yang hebat untuk menumpas Izam di selekoh akhir litar tersebut sebelum menjuru ke garisan penamat untuk merampas kedudukan pertama di podium. Sepanjang perlumbaan tersebut, Syamil yang mengekori Izam dalam keadaan hujan lebat telah memberikan tekanan yang secukupnya. Namun begitu, Izam tidak mengalah dan berjaya mempertahankan kedudukannya sehingga selekoh akhir di mana Syamil yang dikenali dengan aksi aggresif membuka langkah untuk memintas Izam.
Dengan kemenangan pertama untuk musim 2025, Syamil yang menduduki tempat keempat secara keseluruhan selepas pusingan pertama kini menlonjak ke kedudukan kedua secara keseluruhan dengan jumlah sebanyak 38 mata. Jelas ternyata, persaingan di antara Syamil dan Izam yang bermula pada musim lepas kekal sehingga kini lebih-lebih lagi dengan prestasi yang semakin meningkat di antara kedua-dua pelumba tersebut. Siapakah di antara mereka yang mampu menguasai cabaran litar baharu yang bakal menanti di pusingan seterusnya?
Menurut Syamil, “Perlumbaan di Tangkak hari itu, saya telah susunkan strategi dengan target untuk berada di podium tetapi hujan memang lebat dan saya teragak-agak untuk mengambil posisi di haadapan. Lagipun, “visor” saya agak kabur pada masa itu bertambah pula dengan saingan daripada Izam pada Ketika itu. Yang pentingnya, saya mendapat peluang di lap terakhir dan saya terus mengambil kesempatan untuk memintas. Memang rezeki saya pada masa itu. Saya dapat tempat pertama.”
“Pada pendapat saya, Izam adalah pelumba yang agak yakin dan beliau mempunyai kelebihan dari segi pengalaman dan juga dalam teknik berlumba. Beliau adalah pesaing utama buat masa kini walaupun pelumba-pelumba lain pun mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing. Di litar LYL nanti, sudah pasti semua pelumba akan bersaing secara kompetitif. Data memang tiada maka kita harus cepat memahami litar tersebut. Persiapan saya lebih kepada persiapan fizikal dan mental dan saya berharap untuk menamatkan perlumbaan di atas podium.”

