MAMPUKAH KASMA MENERUSKAN MOMENTUM KEMENANGAN?

Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan berlangsung di tapak perlumbaan baharu iaitu LYL International Karting Circuit pada minggu ini. Apakah langkah seterus Kasma Daniel Kasmayuddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor setelah memenangi perlumbaan pertama bagi musim ini di pusingan kedua di kategori CP150 di Tangkak bulan lepas?

Pelumba yang berasal dari Selangor ini telah menunjukkan aspirasi baharu pada musim ini dan walaupun beliau hanya mampu menamatkan perlumbaan pusingan pertama di tempat kesepuluh, Kasma kembali dengan teknik perlumbaan yang mantap pada pusingan kedua untuk menyambar kedudukan pertama. Beliau bukan sahaja membuktikan pengendalian jentera yang hebat di litar yang dikenali sebagai litar teknikal malah juga telah menunjukkan kebolehan beliau untuk berlumba dengan cekap dalam keadaan hujan lebat.

Dengan kemenangan pertama bagi musim 2025, Kasma berjaya melonjak ke kedudukan kedua secara keseluruhan dengan kutipan sebanyak 31 mata dengan perbezaan sebanyak 14 mata daripada Afif yang menduduki tempat pertama secara keseluruhan. Jelas ternyata, prestasi Kasma semakin meningkat dan walaupun masih awal untuk menentukan kedudukan pelumba buat masa kini, Kasma telah menunjukkan perubahan positif yang bakal membantu beliau dalam usaha ke arah kejuaraan.

Menurut Kasma, “Pusingan dua hari itu sememangnya mencabar lebih-lebih lagi dengan keadaan hujan lebat. Pelumba-pelumba CP150, semuanya hebat-hebat belaka dan mereka mempunyai kalibre yang sama. Yang penting pada ketika itu adalah strategi di mana saya telah menggunakan kelebihan jentera dan pengalaman untuk berada di kelompok hadapan secara konsisten.”

“Pada pusingan yang akan datang, cabarannya mungkin berlainan kerana ia merupakan litar yang baharu dan kami tidak mempunyai sebarang data. Walau bagaimanapun, saya telah mendapat sedikit sebanyak pengetahuan mengenai litar tersebut menerusi permainan “go-kart” yang boleh digunakan untuk persediaan dari segi strategi. Matlamat saya pada pusingan yang akan datang adalah untuk meneruskan momentum kemenangan dan cuba menamatkan perlumbaan di podium.”