Pusingan kedua Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan kembali ke Kompleks Sukan Permotoran Tangkak pada hujung minggu ini. Mampukah Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing mengatasi persaingan sengit rakan sepasukan, Md Akid Aziz dan mengekalkan kedudukannya di tangga teratas di kategori CP150?
Pusingan pertama musim 2025 telah bermula dengan nada yang positif bagi Afif apabila beliau berjaya menewaskan pesaing terdekat untuk meraih kedudukan pertama di podium. Jikalau musim lepas Akid telah memberikan persaingan yang hebat sekaligus menyekat peluang Afif untuk mencapai kedudukan teratas, kemenangan pertamanya di acara pembuka tirai memberikan Afif harapan baru untuk menghadapi cabaran-cabaran yang bakal menanti.
Bagi Afif yang telah lama berlumba di kategori CP150, beliau bukan sahaja memiliki kemahiran berlumba yang hebat malah juga memiliki pemahaman yang mendalam mengenai keperluan jentera di litar kelajuan tinggi mahupun litar teknikal. Ini memberikan Afif kelebihan dalam merancang dan membina strategi yang bersesuaian untuk litar-litar yang berlainan. Pada musim lepas di Litar Tangkak, Afif berjaya memungut sebanyak 10 mata di pusingan kedua dan 20 mata di pusingan ketujuh manakala rakan sepasukannya meraih 25 mata bagi kedua-dua pusingan. Persoalannya, mampukah Afif meneruskan semangat pusingan pertama dan menumpaskan rakan sepasukannya di Litar Tangkak?
Menurut Afif, “Cabaran saya di Litar Tangkak mungkin adalah berat bada saya yang memberikan kesan kepada kelajuan motosikal terutamanya di laluan lurus. Semua pasukan dan pelumba ada data di litar tersebut jadi sememangnya mereka agak laju. Namun begitu, saya akan berikan saingan terbaik seperti biasa bukan sahaja di litar Tangkak tetapi di setiap perlumbaan. Semua rider sudah pasti ingin menang dan ramai di antara mereka yang banyak pengalaman. Saya cuma akan fokus pada “setup” saya di setiap perlumbaan.”
“Dari segi kecergasan fizikal, mungkin saya harus lebihkan lagi sebagai persediaan di Tangkak. Litar teknikal seperti Tangkak memerlukan tenaga dan kekuatan fizikal terutamanya untuk bersaing dengan pelumba-pelumba seperti Kasma, Azory, Syazras dan lain-lain. Buat masa kini, saya tidak mahu berfikir mengenai kejuaraan tetapi apa yang lebih penting adalah untuk berada dalam posisi terbaik di setiap perlumbaan dan pungut sebanyak mata yang boleh.”


Leave a Reply