NAQIB SAHUT CABARAN MEREBUT KEJUARAAN

Md Naqib Rifqi Zulhelmi, pelumba berbakat dari Penang, kini berada dalam kedudukan teratas di Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix. Dengan mengumpul 142 mata, Naqib berpeluang cerah untuk merebut gelaran juara keseluruhan dalam kategori Honda RSX One Make Challenge. Namun, cabaran tetap ada di hadapannya, terutamanya dengan Md Fairil Hazmi Farid Sezli dari Selangor yang hanya 10 mata di belakangnya.

Sebagai pemimpin dalam kedudukan keseluruhan, Naqib menyedari betapa pentingnya untuk mempamerkan prestasi yang konsisten. “Untuk Pusingan 9 di Bandar Medini Iskandar, saya telah melakukan persiapan yang maksimum, walaupun tidak banyak perubahan. Fokus saya adalah pada latihan dan memastikan tahap kecergasan berada di puncak,” ujarnya.

Mengenai litar di Bandar Medini Iskandar, Naqib menyatakan, “Litar di Bandar Medini Iskandar ini agak mencabar kerana ia memerlukan strategi yang tepat. Setiap sudut memerlukan teknik tertentu dan saya akan berusaha sehabis baik untuk menyesuaikan diri dengan litar ini secepat mungkin.”

Naqib percaya perlumbaan di Bandar Medini Iskandar akan menjadi peluang yang baik untuknya mengekalkan kedudukan teratas. “Jika saya dapat berlumba dengan prestasi yang baik di sini, ia akan membantu saya untuk menjarakkan jurang dengan pencabar selain mengekalkan kedudukan keseluruhan,” katanya penuh keyakinan.

Namun, perjalanan untuk mengekalkan momentum bukanlah mudah. “Saya menghadapi banyak cabaran, terutamanya dengan kehadiran pelumba lain yang juga laju. Mereka mampu mengganggu saya sebagai pemimpin kejuaraan. Saya perlu kuat dari segi mental dan terus fokus untuk tidak terpengaruh dengan tekanan tersebut,” tambahnya.

Persaingan sengit antara Naqib dan Fairil menjadi tumpuan dalam setiap perlumbaan. “Fairil adalah pelumba yang sangat bagus. Ini tahun pertamanya berlumba di Malaysian Cub Prix dan dia sudah menunjukkan pencapaian yang mengagumkan. Persaingannya sangat sihat dan saya amat menghormatinya,” jelas Naqib.

Dengan baki dua pusingan lagi, Naqib menyedari bahawa keputusan di dua perlumbaan terakhir akan menentukan nasibnya. “Perancangan saya adalah untuk terus berada di podium dan pastinya, saya perlu mengatasi Fairil dalam perlumbaan,” katanya, penuh azam.