Menjelang Pusingan 9 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix di Bandar Medini Iskandar, Johor, pelumba HONDA KC RACING, Md Irfan Haykhal Amidi, bersedia untuk terus mengukuhkan kedudukannya dalam kategori CP125. Selepas mempamerkan prestasi cemerlang pada awal musim dengan memenangi dua perlumbaan di Pusingan 1 dan Pusingan 2, Irfan kini berada di tangga ketiga keseluruhan.
Dengan baki dua pusingan lagi, Irfan hanya 15 mata di belakang Md Izam Ikmal Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, yang berada di kedudukan kedua. Meskipun tidak meletakkan sasaran untuk mencabar kejuaraan, Irfan berhasrat untuk memperbaiki kedudukannya ke tempat kedua, satu matlamat yang masih boleh dicapai dengan usaha keras dalam baki perlumbaan musim ini.
Dalam persiapannya menghadapi cabaran di Bandar Medini Iskandar, Irfan berkongsi bahawa dia memberi tumpuan penuh terhadap kesediaan fizikal dan mental untuk menghadapi cabaran besar ini. “Saya perlu menyediakan stamina, mental dan fizikal sepenuhnya. Perlumbaan di tahap ini memerlukan saya berada dalam keadaan terbaik, jadi saya pastikan latihan saya mencukupi untuk menghadapi apa sahaja yang bakal terjadi.”
Litar Bandar Medini Iskandar bukanlah asing bagi Irfan, namun dia mengakui bahawa ia agak mencabar. “Tahun lepas merupakan kali pertama saya berlumba di sini, dan saya akui litar ini tidak mudah untuk dikuasai. Namun, dengan pengalaman yang saya dapat tahun lepas, saya akan cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik kali ini. Saya yakin, dengan strategi yang betul, saya boleh memperbaiki prestasi saya di sini.”
Kini di tangga ketiga keseluruhan, Irfan sedar betapa pentingnya perlumbaan kali ini untuk melonjakkan kedudukannya. “Saya akan berikan segala-galanya di Bandar Medini Iskandar untuk mendapatkan sebanyak mungkin mata dan melonjakkan kedudukan saya ke tempat kedua. Saya tahu ia bukan mudah, tetapi saya bersedia untuk cabaran ini. Saya sangat fokus pada prestasi dan memastikan saya dapat mengekalkan konsistensi sepanjang perlumbaan.”
Mengulas prestasi cemerlangnya pada awal musim dan cabaran yang dihadapi selepas itu, Irfan mengakui bahawa terdapat beberapa kesukaran yang menyukarkan dia untuk mengekalkan momentum kemenangan. “Walaupun jentera saya tidak berada pada tahap yang terbaik kebelakangan ini, saya tetap cuba untuk memberikan yang terbaik setiap kali turun ke litar. Setiap perlumbaan adalah peluang untuk belajar dan memperbaiki diri, jadi saya fokus untuk mengumpul mata penting.”
Dengan baki dua pusingan terakhir, Irfan dan pasukannya telah merangka pelan untuk meningkatkan prestasi jentera mereka. “Pasukan kami telah melakukan beberapa ujian penting dan kami berusaha untuk mengatasi segala masalah yang timbul sepanjang musim ini. Dari hasil ujian tersebut, kami mendapat banyak input positif dan keyakinan saya semakin meningkat. Saya yakin kami akan dapat mencapai podium tertinggi di pusingan ini, Insyaallah.”
Leave a Reply