Ungguli perlumbaan di 2 pusingan secara berturut-turut, harapan Md Izam Ikmal Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING melakar kemenangan hatrik itu punah di Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix yang dilangsungkan di Litar Lumba Tangkak.
Walaupun begitu, Izam kekal tidak terkesan dengan kekecewaan itu malah kekal bersifat positif meraih P5 di perlumbaan itu dalam kategori CP125.
Izam berkata, “Saya tak mahu terlalu kejarkan hatrik kerana ia boleh merisikokan lagi mata kejuaraan saya selain risiko terjatuh. Apa-apapun saya terima hakikat yang saya masih di tempat ke-5.”
Ketika perlumbaan, Izam mengetuai kumpulan sepanjang perlumbaan, tetapi malangnya dipintas pada pusingan terakhir menyaksikannya terpaksa berpuas hati dengan tempat ke-5.
Izam menjelaskan, “Semasa perlumbaan saya tahu yang saya ada ‘pace’ sangat baik tapi cara perlumbaan saya tidak ‘clean’ daripada pelumba lain, membuatkan saya hilang kedudukan di sekurang-kurangnya tempat kedua.”
Susulan terlepas kemenangan, Izam kini di tangga kedua keseluruhan kejuaraan. Izam berkongsi perancangan untuk Kembali mendaki ke kedudukan teratas. “Saya akan teruskan momentum saya untuk terus memastikan tempat di atas podium dan berharap rezeki saya baik untuk memburu kejuaraan keseluruhan hingga Pusingan 10.”
“Menjelang Pusingan 8 Dataran Seri Jempol, saya melakukan persediaan dari segi pemakanan dan sedikit kardiovaskular dan saya memilih untuk menjalani latihan fizikal serta mental saya dengan lebih kuat dari sebelumnya. Jempol adalah salah satu litar kesukaan saya dan saya pernah buat analisis di litar ini sebelum ini dan saya harap semuanya berjalan dengan lancar,” tambah Izam.

