ADAM KECUNDANG DI HALAMAN SENDIRI

Sudah menjadi kebiasaan apabila berlumba di halaman sendiri, pelumba tampil lebih teruja untuk berlumba dengan hasrat tawan perlumbaan dan mengharumkan nama di tempat kelahiran.

Andai berjaya, kegembiraan mudah digambarkan. Namun, bagaimana jika ia tidak kesampaian?

Kekecewaan jelas dirasai oleh pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Md Adam Haikal Jahar apabila tidak mampu menghabiskan perlumbaan, bahkan tidak mampu melepasi pusingan pertama.

Demikian susulan Adam terjatuh berhampiran garisan permulaan menyaksikannya gagal melengkapkan pusingan pertama sekaligus dikeluarkan daripada perlumbaan Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix di Litar Lumba Tangkak itu.

Adam berkata, “Ketika perlumbaan bermula, saya memilih racing line yang agak sempit untuk menutup laluan lawan. Namun, menghampiri penghujung pusingan pertama, tayar belakang saya tergelincir ke dalam ‘apex’, menyebabkan saya mengalami ‘highside’ dan terjatuh. Kejadian ini berlaku dengan sangat cepat dan mengecewakan, tetapi apa saya boleh lakukan adalah segera memberi tumpuan kepada pemulihan.”

“Secara keseluruhan, pusingan di Litar Lumba Tangkak kali ini agak kurang memuaskan. Ini kerana Tangkak adalah litar di kampung halaman saya dan saya telah menetapkan sasaran tempat 3 teratas di situ. Saya menghadapi beberapa masalah yang mengganggu prestasi saya semasa perlumbaan. Beberapa isu teknikal dan keadaan trek mempengaruhi pengalaman saya secara keseluruhan. Walaupun begitu, pusingan ini memberikan pengajaran berharga dan peluang untuk penambahbaikan,” tambah Adam.

Adam berkongsi perkembangan mengenai keadaan dirinya, “Selepas terjatuh, saya mengalami sedikit kecederaan pada buku lali yang terseliuh. Namun, saya tidak berputus asa dan terus bersemangat untuk menjalani rutin kecergasan harian saya. Saya yakin buku lali saya akan sembuh dalam masa seminggu, dan selepas itu, saya akan kembali fokus kepada latihan mental dan fizikal intensif untuk mempersiapkan diri bagi perlumbaan seterusnya.”

Berbaki 3 minggu menuju ke Pusingan 8 di Dataran Seri Jempol, Adam berkongsi perancangannya, “Harapan saya adalah untuk kembali meraih kemenangan. Saya percaya peluang untuk mencapai kemenangan sentiasa terbuka kepada semua. Yang penting adalah usaha yang saya lakukan untuk mencapainya. Saya akan bekerja keras untuk memastikan prestasi saya meningkat dan bersedia untuk bersaing di Jempol. Usaha dan dedikasi akan menjadi kunci kejayaan.”

“Trek Jempol bagi saya adalah satu trek yang teknikal, dengan jalan yang tidak rata dan laluan yang naik turun bukit. Walaupun ia mencabar, saya sangat menggemari trek ini kerana ia memberikan pengalaman berlumba yang unik dan menguji kemahiran. Trek ini adalah salah satu kegemaran saya kerana ia menawarkan pelbagai cabaran yang menjadikannya menarik untuk diharungi,” tambah Adam.