Satu-satunya pelumba dalam category CP125 yang masih kekal di kedudukan podium setiap pusingan, pelumba tersebut adalah Md Syamil Amsyar Md Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING.
Selain keputusan DNF (Did Not Finish) pada Pusingan 4 di Stadium Mini Teluk Intan, Syamil kekal dalam kelompok 3 terbaik dalam setiap perlumbaan.
Turut meraikan kejayaan Syamil apabila meraih kemenangan pertama bagi musim 2024 selepas ungguli perlumbaan pada Pusingan 7 di Litar Lumba Tangkak sekaligus membakar semangat untuk mengekalkan kecemerlangan dalam baki 3 pusingan sebelum Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix musim 2024 menutup tirainya.
Syamil berkata, “Alhamdulillah saya rasa gembira dan bersyukur dengan keputusan yang saya raih sepanjang 6 pusingan ini. Sehingga hari ini, saya masih terkejut dengan diri saya, mampu kekal di 3 teratas setiap pusingan. Saya tidak menjangkakannya tetapi saya amat bersyukur kerana usaha keras saya selama ini mula menunjukkan hasil yang positif dan saya berharap prestasi ini dapat terus dipertingkatkan ataupun sekurang-kurangnya konsisten. Selain itu, kejayaan ini juga berkat doa dari family saya dan orang ramai terutama ibu saya. Cuma semasa Pusingan 4, di mana saya sepatutnya berada di atas podium tetapi disebabkan kemalangan yang tidak dapat dielakkan, saya agak kecewa tidak dapat menamatkan perlumbaan di Teluk Intan.”
Kemenangan di Tangkak menempatkan Syamil di tangga teratas kedudukan keseluruhan. Syamil berkongsi, “Melihat nama saya kini teratas dalam senarai menggandakan lagi semangat saya untuk pusingan akan datang. Saya perlu berusaha dengan lebih lagi untuk konsisten pada pusingan yang seterusnya di Jempol. Melalui usaha yang bakal saya lakukan kelak, Insyaallah dapat terus mengetuai mata kejuaraan keseluruhan saya. Ianya kerana usaha tidak akan mengkhianati hasil.”
Enggan membiarkan impian dianggap sekadar angan-angan, Syamil cukup jelas bahawa cabaran yang perlu harungi. “Antara cabaran saya adalah pesaing terdekat saya iaitu Md Izam Ikmal Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING dan Md Irfan Haykhal Amidi dari HONDA KC RACING yang kini di kedudukan kedua dan ketiga keseluruhan. Mereka juga adalah pelumba yang berpengalaman tinggi, dan tidak mustahil untuk mereka memenangi perlumbaan akan datang. Jadi selain terus mencari ruang menambahbaik prestasi saya, saya perlu bijak mengatur strategi dengan pasukan serta rakan sepasukan saya, Md Adam Haikal Jahar agar kami semua berada di landasan yang tepat dalam pemburuan kejuaraan.”

