Md Izzat Zaidi Md Salehan menamatkan kemarau kemenangan sejak 2015 setelah melakar kemenangan buat pasukannya PETRONAS Spinta Yamaha – CKJ Racing di pusingan kelima Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix, musim ke-29 yang berlangsung di Litar Jempol.
Pelumba CP150 yang berasal dari Selangor telah mencatatkan masa terpantas di sesi perlumbaan akhir apabila beliau melengkapkan kesemua 20 lap tersebut dengan kelajuan yang konsisten sepanjang perlumbaan.
Izzat yang telah memulakan perlumbaan di petak grid pertama tidak memberikan peluang kepada pelumba-pelumba lain untuk mengambil tempatnya di P1. Beliau kelihatan yakin dengan jentera serta kebolehannya untuk mempertahankan kedudukannya di tempat pertama sepanjang perlumbaan.
Pada pusingan lepas, Izzat telah mengambil tempat ketiga secara keseluruhan. Persembahan beliau sepanjang musim ini tidak kurang hebat dan telah menaiki podium di tempat kedua pada pusingan pertama kejuaraan ini.
Pada sesi kelayakan semalam, Izzat mencatatkan masa kedua terpantas dengan catatan masa 44.310s manakala bagi sesi Super Pole, beliau mencatatkan masa terpantas, 44.023s. Bagi perlumbaan akhir, beliau menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 14’48:244s.
Menurut Izzat, “Saya berasa amat gembira kerana akhirnya berjaya mendapat tempat pertama di podium.”
“Bagi saya, perlumbaan ini telah berjalan dengan agak lancar. Afif telah banyak membantu dalam perlumbaan kali ini dan saya amat berterima kasih kepada beliau dan pasukan saya untuk kemenangan ini.”
Tempat kedua menjadi milik Azroy Anuar Hakeem dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu apabila beliau menamatkan perlumbaannya dengan catatan masa 14’50:015s.
Tempat ketiga pula adalah milik Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing dengan catatan masa 14’51:180s.
Aksi Perlumbaan Akhir CP150
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook

