ZAKI PASTI JADI TUMPUAN DALAM KELAS WIRA

Pelumba pasukan MOS William #LLRKS CYT Racing, Md Zaki Zamri pasti menjadi tumpuan bagi kelas Wira pada aksi Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas yang akan berlangsung di Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri Kuala Nerus, Terengganu minggu ini.

Pelumba asal Selangor itu masih terlalu sukar digugat dan selepas mengharungi empat pusingan setakat ini, dia sudah bergelar juara sebanyak tiga kali.

Dia memegang status tersebut bermula pada Pusingan 1 di Jasin, Melaka diikuti Pusingan 3 di Tangkak, Johor dan terakhir pada Pusingan 4 di Pontian, Johor.

Pada saingan Pusingan 2 di Batu Kawan, Pulau Pinang Zaki sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

Pencapaian tersebut membolehkannya mendahului kedudukan keseluruhan dengan meraih 85 mata.

Minggu ini, Zaki akan sekali lagi turun untuk memburu penyudah podium dan berharap litar baharu di Terengganu itu akan terus membawa tuah kepadanya.

Ia bukan perkara mustahil untuk dicapai dengan syarat jentera Yamaha yang ditunggangnya terus stabil.

Walaupun memiliki keyakinan untuk menguasai saingan di Terengganu nanti, namun Zaki tidak menolak kemungkinan bakal berdepan cabaran sengit daripada dua pelumba Petronas Sprinta-31 Racing iaitu Md Aliff Danial Asri dan Md Haziq Rosmaza.

Aliff pernah menewaskannya pada aksi Pusingan 2 namun kekalahan tersebut berjaya ditebus oleh Zaki pada saingan Pusingan 3 dan 4.

Pada perlumbaan di Pontian bulan lalu, Aliff yang muncul naib juara, sekali lagi tampil selaku pencabar terkuat namun terpaksa akur dengan kehebatan Zaki.

Walaupun mampu mempamerkan tunggangan yang bertenaga, namun jentera Aliff masih belum mendapat pelarasan terbaik.

Kemampuan jentera pelumba asal Johor itu banyak menjejaskan prestasinya walaupun dilihat mantap ketika mengharungi Pusingan 2.

Malah, Aliff turut gagal menamatkan perlumbaan pada saingan di Tangkak gara-gara masalah mekanikal.

Bagi Zaki, setakat ini semunya berada dalam keadaan sempurna dan ia memberi keyakinan kepadanya untuk memburu penamat podium di Terengganu minggu ini.

“Saya akan cuba lakukan yang terbaik. Apa yang lebih penting adalah pelarasan jentera saya kekal mantap.

“Sasaran sudah pastinya mahukan kemenangan tetapi saya tidak boleh terlalu yakin kerana kami akan berlumba di latar baharu. Pelumba lain juga sudah bersedia untuk menghadapi perlumbaan di Terengganu minggu ini, jadi saya perlu lebih fokus,” jelas Zaki yang tidak mahu kehilangan sebarang mata pada perlumbaan minggu ini.

Selepas empat pusingan, Zaki kini terus selesa memimpin kedudukan keseluruhan dengan 85 mata diikuti Aliff di tempat kedua (50) manakala Haziq menghuni tempat ketiga dengan 46 mata.

 

INFO

KEDUDUKAN KESELURUHAN KELAS WIRA (5Teratas)

Md Zaki Zamri (SGR) MOS William #LLRKS CYT Racing – 80 mata

Md Aliff Danial Asri (JHR) Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing -50

Md Haziq Rosmaza (KL) Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing – 46

Md Shahrul Ezwan Sharil (SGR) AFB TECH Racing -36

Md Afizad Supaat (SGR) Super KIP Motorsports – 33