SYAMIL BUKA LANGKAH GAGAH DI LYL

Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 yang berlangsung di LYL International Karting Circuit, Monkeys Canopy hari ini menyaksikan Md Syamil Amsyar Md Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING mencatatkan masa terpantas dalam sesi kelayakan kategori CP125.

Dalam sesi latihan 2 CP125 A, Md Izam Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING muncul sebagai pelumba terpantas dengan catatan 1’13.654s. Di tempat kedua ialah Md Khairi Asyraf Mahmood dari JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM dengan 1’13.756s, diikuti Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM yang mencatatkan 1’13.794s.

Sementara itu, dalam latihan 2 CP125 B, Md Adib Arsyad Md Hisam mencatat masa terpantas 1’12.929s. Emil Izhar Ezuan dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING berada di tempat kedua dengan masa 1’13.455s, manakala Syamil menempatkan diri di kedudukan ketiga dengan catatan 1’13.506s.

Dalam sesi kelayakan CP125 A, Izam sekali lagi menunjukkan prestasi konsisten apabila mencatatkan masa 1’12.768s. Idlan berada di tempat kedua dengan 1’13.113s, diikuti Khairi di tempat ketiga dengan 1’13.299s.

Pada sesi kelayakan CP125 B, Syamil tampil cemerlang apabila juara keseluruhan CP125 musim 2024 itu mencatatkan masa terpantas 1’12.541s. Adib berada di tempat kedua dengan 1’12.849s, manakala Emil melengkapkan tiga teratas dengan 1’13.489s.

Secara keseluruhannya, Syamil muncul sebagai pelumba terpantas hari ini dalam kategori CP125, diikuti oleh Izam dan Adib di tempat kedua dan ketiga masing-masing.

Syamil berkongsi, “Pusingan kali ini di LYL International Karting Circuit memang satu cabaran besar untuk saya kerana ini adalah litar yang sangat baru dan agak teknikal. Ia benar-benar menguji kekuatan mental saya dan secara jujurnya, saya berasa agak penat selepas sesi kelayakan tadi. Saya dah beri segalanya dalam sesi tersebut, memang ‘all out’, tetapi saya masih rasa pelarasan jentera belum betul-betul sempurna. Untuk esok, saya akan cuba buat yang lebih baik lagi.”