Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan berlangsung di Litar Lumba Tangkak sekali lagi pada hujung minggu ini. Md Helmi Azman dari pasukan Maeztro SCK Honda Racing Team sudah bersedia untuk menaiki podium buat kali kedua bagi kategori CP150.
Sejak menaiki podium di tempat ketiga pada pusingan kedua yang telah berlangsung di litar Tangkak pada awal musim ini di litar basah, Helmi telah tampil dengan motivasi yang berlainan namun begitu, untuk mengulangi pencapaian tersebut di litar-litar berlainan bukanlah semudah yang di sangka. Jelas ternyata, walaupun Helmi mempunyai kelebihan tersendiri, beliau masih bergelut dalam misi mencari momentum dan pelarasan jentera yang boleh memberikan beliau kelebihan yang setaraf dengan pelumba-pelumba lain di kategori ini.
Helmi merupakan antara pelumba yang pernah menjuarai kategori CP150 pada suatu ketika dahulu iaitu pada musim 2020 dengan jumlah sebanyak 143 mata. Beliau juga merupakan antara pelumba setia yang telah lama bersama pasukan yang sama iaitu pasukan SCK Honda Racing bermula dari tahun 2018. Walaupun pengalaman Helmi luas, beliau masih mempunyai kekurangan yang perlu diperbaiki di kategori CP150 untuk bersaing dengan lebih kompetitif dengan pelumba-pelumba lain. Buat masa kini, Helmi menduduki tempat ketujuh secara keseluruhan dengan jumlah sebanyak 48, beza hanya 10 mata untuk menaiki tempat kelima secara keseluruhan.
Menurut Helmi, “Pusingan kedua merupakan suatu permulaan yang baik pada musim ini kerana saya dapat menaiki podium di litar Tangkak walaupun ia merupakan litar yang paling mencabar bagi saya. Saya tidak pernah mendapat keputusan yang baik di situ. Mungkin juga hujan pada ketika itu membawa tuah kepada saya. Cabaran utama di kategori CP150 semestinya pesaing-pesaing yang semakin laju dan kuat. Tahun ini, jentera saya lebih kompetitif berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya jadi saya cuba mengambil peluang di mana mampu.”
“Saya telah bersama pasukan SCK agak lama dan saya amat selesa dengan mereka terutamanya pemilik pasukan saya iaitu Soon Che Kiong. Beliau sentiasa cuba untuk berikan yang terbaik terutamanya dari segi jentera. Beliau juga telah memberikan saya kenangan manis sebanyak 2 kali apabila saya menjadi juara pada tahun 2020 dan juga pada tahun 2018 di kategori UB150 dalam kejuaraan ARRC. Perkara yang paling ketara selepas saya menjuarai kategori CP150 adalah perubahan regulasi di mana pasukan tidak dapat mencari pelarasan jentera sebaik tahun-tahun sebelumnya. Inilah cabaran kami selama ini tetapi musim ini agak bagus kerana pasukan hampir mendapat pelarasan yang baik.”
Sebagai seorang pelumba yang berpengalaman, Helmi berkata, “Pengalaman di antara pelumba-pelumba pasti berbeza. Walaupun semua pelumba di kategori CP150 adalah pelumba yang berpengalaman, ia ditimba dengan keadaan yang berlainan. Kelebihan dan kekurangan tetap ada dan juga berlainan antara pelumba-pelumba. Saya masih mempunyai kekurangan walaupun sudah lama berlumba di kategori ini. Tetapi, matlamat sentiasa sama iaitu untuk menaiki podium dan itulah fokus saya untuk pusingan yang akan datang dan musim ini.”