Pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, Ahmad Afif Amran, terus membuktikan kredibilitinya sebagai antara pelumba paling konsisten dalam Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix musim ini apabila meraih kemenangan penuh bergaya di Pusingan 3 yang berlangsung buat julung kali di LYL International Karting Circuit, Monkeys Canopy. Kemenangan ini bukan sahaja menambahkan koleksi kemenangannya musim ini, malah menjadi simbol kejayaan dalam menakluk litar baharu yang mencabar, di mana pengalaman, ketekalan dan ketahanan fizikal menjadi kunci utama.
Bagi Afif, detik melintasi garisan penamat sambil menerima ‘chequered flag’ adalah sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata. “Saya rasa sangat puas hati dan amat gembira kerana berjaya memenangi perlumbaan di LYL International Karting Circuit, terutamanya kerana ini kali pertama litar ini digunakan dalam kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix. Ia satu kemenangan yang sangat bermakna. Kemenangan ini buat saya terasa segala usaha dan pengorbanan yang saya lakukan, benar-benar berbaloi.”
Litar LYL sememangnya memberikan cabaran berbeza kepada semua pelumba. Mempunyai 18 selekoh tajam dan teknikal, litar ini memerlukan kecekapan maksimum dalam pengendalian jentera serta kekuatan mental dan fizikal pelumba. “Trek ini memang mencabar, selekoh-selekohnya kecil dan banyak. Ia benar-benar menguji konsistensi kami dalam setiap lap. Masalah utama di sini ialah kehausan tayar yang sangat cepat. Jadi saya perlu kawal penggunaan tayar dari awal hingga akhir perlumbaan. Saya gunakan sepenuhnya pengalaman saya di atas litar untuk menguruskan cabaran ini, dan syukur, semuanya menjadi seperti yang dirancang,” ujar Afif.
Dengan tiga pusingan yang telah berlangsung setakat ini, Afif berjaya naik ke podium dalam kesemua perlumbaan, termasuk dua kemenangan. Ini jelas menunjukkan peningkatan prestasinya berbanding musim lalu. “Alhamdulillah, permulaan musim ini sangat baik untuk saya. Tahun lepas saya agak lambat menunjukkan peningkatan, tapi kali ini saya sudah buat persiapan lebih awal, bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga dari segi jentera. Saya rasa kemenangan dua kali dalam tiga pusingan awal adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan,” katanya.
Persiapan Afif untuk musim ini juga melibatkan pengorbanan besar dari segi fizikal, termasuk penurunan berat badan. Menurutnya, proses ini bukanlah sesuatu yang mudah. “Awalnya memang susah, terutama bila perlu kurangkan pengambilan gula dan nasi. Tapi saya tahu, berat badan mempengaruhi kelajuan, jadi saya harus berkorban untuk kerjaya saya. Sekarang saya rasa perubahan itu sangat membantu, terutamanya dari segi kelajuan motor di atas litar. Ia benar-benar beri impak positif kepada prestasi saya.”
Menjelang Pusingan 4 di Stadium Mini Teluk Intan, Perak, litar di mana beliau dan rakan sepasukan, Md Akid Aziz, pernah mendominasi, Afif tetap merendah diri dan tidak meletakkan sebarang sasaran khusus. “Untuk pusingan akan datang di Teluk Intan saya tak mahu terlalu meletakkan harapan. Apa yang penting saya ingin memperbaiki kelemahan musim lepas di litar ini. Saya akan memberi yang terbaik dan fokus kepada perlumbaan sendiri. Jika lihat sekarang, banyak pasukan lawan juga semakin kuat dan menunjukkan banyak peningkatan,” jelasnya.
Apabila ditanya mengenai litar yang paling mencabar sepanjang kariernya, Afif tanpa ragu menyebut Litar Lumba Tangkak. “Trek di Lita Lumba Tangkak memang paling mencabar dari segi stamina. Ia perlukan refleks yang pantas. Kalau ada sedikit kesilapan pun, boleh menyebabkan jarak dengan pelumba lain jadi sangat jauh. Jadi saya memang perlu pastikan fizikal dan fokus berada pada tahap maksimum bila berlumba di sana.”
Sepanjang musim ini, Afif juga kelihatan lebih stabil dan fokus ketika berlumba, sesuatu yang menurutnya adalah hasil daripada latihan intensif sebelum musim bermula. “Saya banyak menjalani latihan sebelum musim bermula, jadi apabila dalam perlumbaan, saya boleh kawal emosi dengan lebih baik. Saya menjadi lebih tenang, dan boleh kekalkan fokus secara konsisten sepanjang perlumbaan,” katanya, menunjukkan betapa pentingnya persediaan mental dalam sukan permotoran.

