Pusingan 2 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 telah berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor hari ini. Md Syamil Amsyar M Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING muncul juara dalam perlumbaan CP125 yang penuh mendebarkan.
Dalam sesi “Shoot-Out” yang berlangsung pagi tadi, Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM mencatat masa terpantas 45.354s untuk meraih petak pertama. Md Izam Ikmal Izamli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING menyusul di tempat kedua dengan 45.468s, manakala Arash Tsunami Kamarudin dari YAMAHA TEKHNE AHM MOTOR SPORTS bermula di petak ketiga dengan 45.550s.
Perlumbaan bermula dengan Izam dan Idlan mendahului, diikuti oleh Md Adib Arsyad Md Hisam di kedudukan ketiga. Namun, cabaran Idlan tamat lebih awal selepas beliau terjatuh pada pusingan ketiga sekali gus tersingkir daripada perlumbaan.
Izam kemudiannya mencatat masa perlumbaan terpantas 50.263s dan mengetuai perlumbaan pada pusingan keenam, dengan Syamil terus membayangi di belakang. Kedua-dua pelumba mengekalkan rentak konsisten di kelompok hadapan dan berjaya mencipta jurang 3.534s daripada kumpulan kedua.
Ketika menghampiri garisan penamat, Izam yang dijangka bakal memenangi perlumbaan dikejutkan dengan aksi pintas cemerlang daripada Syamil di selekoh terakhir. Syamil terus memecut dan melintasi garisan penamat untuk merangkul kemenangan Pusingan 2 dengan catatan masa 10’18.594s.
Izam menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan 10’18.788s, manakala rakan sepasukannya, Emil Idzhar Ezuan dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, melengkapkan podium di tempat ketiga dengan masa 10’21.515s.
Syamil berkata, “Dalam perlumbaan tadi, visor saya pun agak kabur. Saya cuba untuk mendahului tetapi masih teragak-agak. Saya lihat Izam juga cuba memintas saya ikut pace dia yang memang laju. Saya ambil keputusan untuk mencuba di selekoh terakhir dan alhamdulillah, strategi saya menjadi.”

