Bila sebut perlumbaan di Tangkak, pasukan ini sering menjadi buah mulut di kalangan ramai.
Pasukan mana lagi kalau bukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING yang bertakhta di kedudukan teratas podium sebanyak 5 kali berturut-turut di litar Tangkak.
Itu pasukan, tetapi siapakah penyumbangnya? Haa.. Jeng Jeng Jeng! Ahmad Afif Amran yang diibaratkan “Raja Litar Tangkak” berikutan pencapaiannya iaitu memenangi 5 perlumbaan secara berturut-turut sejak musim 2021 menyaksikannya digeruni ramai.
Afif bagaimanapun bersifat rendah hati berkata, “Mungkin luck saya di litar Tangkak sangat baik dan litar ini merupakan antara salah satu trek kegemaran saya. Tetapi saya tidak mahu taruh harapan terlalu tinggi kali ini sebab dengan peraturan baru ini menjadikannya susah sikit untuk menjamin keputusan yang tepat atau konsisten.”
“Saya akui litar Tangkak ini sangat mencabar, dalam masa sama menguji tahap stamina pelumba-pelumba sama ada mampu bertahan atau tidak sebab trek ini bukan bergantung pada kuasa jentera 100% tetapi ia terbahagi 50% tertumpu kepada daya tahan pelumba dan 50% kepada jentera.”
Tambahan pula selepas terlibat dalam kemalangan ketika berlumba di IDEMITSU FIM Asia Road Racing Championship, Afif mengalami sedikit kecederaan di bahagian tangan yang berkemungkinan besar mengganggu prestasinya pada pusingan ini di Tangkak. Afif tekad pamer aksi terbaiknya, “Sudah pasti kecederaan ini sedikit sebanyak akan memberi kesan untuk saya tampil 100% untuk pusingan ke-2 tetapi apapun saya akan buat yang terbaik.”
Sampai sini, masihkah korang ingat bahawa pasukan ini hebat? Ia bermakna selain Afif, rakan sepasukannya, Md Akid Aziz juga berbisa!
Afif tidak menafikan kehebatan ada pada rakan sepasukannya itu termasuk pelumba-pelumba lain yang mengintai peluang memecahkan rentak kemenangannya, “Memang saya jangkakan Akid Aziz akan laju di Tangkak minggu ni. Dan pendapat saya bukan rakan sepasukan saya sahaja laju tetapi ramai pelumba lain akan muncul laju sebab kebelakangan ini banyak pasukan buat ‘testing’ di Tangkak dan saya percaya mereka juga telah perolehi banyak data baru.”
Walaupun baru menyertai PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING pada 2023, Akid membalas kepercayaan pasukannya dengan membuktikan diri melalui hadiah bukan sahaja gelaran juara keseluruhan, tetapi juga anugerah pasukan terbaik keseluruhan.
Pada musim lalu di litar Tangkak, turut meraikan kejayaan bersama Afif adalah Akid yang juga menamatkan perlumbaan dengan meraih kedudukan kedua.
Akid berkongsi, “Untuk 2020 saya bersama pasukan yang berbeza begitu juga 2021 dan 2022. Untuk 2023 saya ada sedikit masalah dan masih kurang yakin dengan keadaan motosikal saya.
“Tahun ini masuk tahun kedua saya sepasukan dengan Afif. Afif seorang pelumba yang teliti dan ada pengalaman yang cukup baik. Bagi saya ia bukan sesuatu perkara yang mudah untuk memintas Afif, kerana masing-masing ada kelebihan dan kekurangan sendiri. Walau macam mana pun saya akan cuba yang terbaik di tangkak ini.”
“Pusingan 1 di Jasin, keadaan motosikal saya cukup baik dan lebih baik berbanding tahun lepas. Tapi kita berlumba di litar yang berbeza-beza. Ia masih terlalu awal untuk ada keyakinan yang tinggi, kerana semua pelumba dan pasukan juga akan ada peningkatan dalam setiap pusingan dan kekalkan momentum tidak cukup untuk menentukan kemenangan. Jadi, kita lihat bagaimana keadaan semasa sesi latihan dah kelayakan berjalan.”
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook