“PENGALAMAN PENTING DALAM PERLUMBAAN” – FARISH

Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan ke Litar Sepang PETRONAS Antarabangsa (Selatan) pada hujung minggu ini. Md Farish Iqmal dari pasukan Zynergys Honda KC Racing akan memperbaiki lagi prestasinya dalam kategori CP125.

Pelumba yang dikenali sebagai juara kategori Wira KBS musim 2023 yang berjaya menumpaskan pesaing terdekat dari pasukan yang telah memegang rekod kejuaraan selama empat tahun berturut-turut, Farish kini tampak bergelut dalam kategori yang memang dikenali sebagai kategori yang sukar dan aggresif. Memang tidak dapat dinafikan, pelumba yang berasal dari Johor ini mempunyai kemahiran dan teknik tunggangan yang bagus. Ini terbukti dengan pencapaiannya dalam sesi latihan bebas dan juga sesi kelayakkan pusingan tertentu di mana beliau berjaya di kedudukan yang agak baik.

Namun begitu, pengalamannya di kategori ini selama dua tahun boleh dikatakan tidak mencukupi untuk bersaing dengan lebih kompetitif dengan pelumba-pelumba lain yang lebih berpengalaman. Lebih-lebih lagi dalam kategori yang memerlukan pendapat technical dan maklum balas daripada pelumba dalam pelarasan jentera yang optima untuk litar yang berlainan. Pada musim pertama di kategori CP125, Farish berjaya di tangga kelapan dengan kumpulan sebanyak 76 mata. Mampukah Farish memperbaiki kekurangan pada musim ini dan mencapai pencapaian yang lebih bagus berbanding dengan musim lepas?

Menurut Farish, “Musim lepas, bagi saya, lebih mudah berbanding dengan musim ini kerana mungkin pelumba-pelumba yang lain pada ketika itu masih mencari pelarasan yang lebih baik untuk jentera mereka. Oleh itu, saya dapat bersaing dengan lebih baik tetapi musim ini pula, pelumba-pelumba lebih bersedia maka lebih sukar untuk bersaing di kelompok hadapan. Kekurangan saya juga dapat di lihat dari segi komunikasi dengan pasukan saya kerana kadang-kadang saya mungkin tidak menyampaikan maklumat dengan jelas dan ini memberi Kesan kepada pelan yang sudah dirancangkan untuk perlumbaan.”

“Sepanjang musim ini, saya telah memberikan yang terbaik tetapi untuk tiga perlumbaan, saya jatuh dan hilang peluang untuk berlumba di kelompok hadapan. Itu memang kesilapan saya dan mungkin juga bukan rezeki saya. Bagi saya, yang penting adalah pelarasan jentera tetapi ia bukanlah semudah yang disangka. Setiap litar memerlukan pelarasan yang berbeza dan yang paling sukar adalah pelarasan “suspension”. Saya masih belajar untuk memahami keadaan jentera buat masa ini tetapi saya yakin di pusingan akan datang, saya akan mendapat pelarasan yang lagi bagus untuk itu. Di litar Sepang, paling penting adalah kuasa jentera kerana ia adalah litar yang besar and lebar. Saya akan cuba yang terbaik dan berharap dapat naik podium. Dalam perlumbaan ini, pengalaman amatlah penting. Saya masih menimba pengalaman yang diperlukan dan saya berharap dapat memperbaiki kekurangan saya di masa akan datang.”