PENAMAT DRAMATIK DARI AFIF

Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 di Litar Lumba Tangkak, Johor menyaksikan Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING mengesahkan kemenangan dramatik di penghujung perlumbaan.

Sejak perlumbaan bermula, Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR pantas mengambil alih kedudukan hadapan, diikuti rapat oleh Afif serta rakan sepasukannya, Md Akid Aziz. Md Faiz Zekri Sabri dari ATAS AHM MOTOR SPORTS dan Azroy Hakeem Anuar dari HONDA ESTREMO YUZY RACING turut berada dalam kelompok lima terbaik.

Menjelang pusingan kelima, lima pelumba ini berjaya membina jurang satu saat daripada kelompok kedua. Di pusingan kesembilan, Kasma masih mengetuai saingan namun ditekan rapat oleh Afif yang hanya ketinggalan kurang daripada 0.200s.

Persaingan memuncak apabila baki tujuh pusingan, Kasma dan Afif mengasingkan diri di hadapan dengan jarak lebih dua saat. Afif terus mencari ruang, dan pada dua pusingan terakhir beliau akhirnya berjaya mendahului Kasma. Walaupun Kasma cuba bangkit, Afif kekal tenang sehingga ke garisan penamat.

Afif menamatkan perlumbaan dengan catatan 14’36.160s, hanya 0.204s di depan Kasma yang berpuas hati di tempat kedua pada 14’36.364s. Akid pula melengkapkan podium di kedudukan ketiga dengan catatan 14’38.246s.

Afif berkongsi, “Syukur Alhamdulillah, kemenangan ini sememangnya rezeki hari ini kerana minggu ini. Sepanjang minggu ini kita dapat lihat Kasma sudah mendominasi dari hari pertama hingga ke hari perlumbaan. Saya sendiri menjangkakan rentak perlumbaannya memang kuat. Mungkin saya boleh memintasnya pada satu pusingan, kemudian dia pula akan memintas saya semula. Namun pada pusingan ketiga, pelindung lutut kirinya tercabut dan terjatuh, menyebabkan beliau tidak dapat mengekalkan rentak perlumbaan yang lebih tinggi. Mungkin itu menjadi rezeki untuk saya, dan saya benar-benar bersyukur dapat meraih kemenangan sekali lagi hari ini.”

TOP 5 FASTEST – RACE

  1. Ahmad Afif Amran – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (14’36.160s)
  2. Kasma Daniel Kasmayudin – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (14’36.364s)
  3. Md Akid Aziz – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (14’38.246s)
  4. Azroy Hakeem Anuar – HONDA ESTREMO YUZY RACING (14’38.604s)
  5. Nazirul Izzat Md Bahauddin – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (14’41.158s)