MISI EMIL – TEMPAT KEDUA SECARA KESELURUHAN

Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan berlangsung di Litar Lumba Tangkak sekali lagi pada hujung minggu ini. Bolehkah Emil Idzhar Ezuan dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing meningkatkan lagi mata pencarian untuk mengambil kedudukan kedua di carta keseluruhan bagi kategori CP125?

Memandangkan pencapaian rakan sepasukannya Izam Ikmal yang telah berjaya mengukuhkan kedudukannya di tangga pertama dengan perbezaan mata sebanyak 44 dengan perlumba di tangga kedua, mampukah Emil menutup jurang mata dengan pesaing terdekatnya untuk memberikan pasukannya kelebihan 1-2? Walaupun hanya menaiki podium sekali sepanjang musim ini, Emil telah berjaya mengumpul sebanyak 23 mata setakat ini, suatu pencapaian yang menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara berbanding dengan musim lepas. Pada musim lepas, Emil berlumba di kategori CP150 dan menamatkan musim tersebut di tempat kesepuluh.

Pelumba yang asalnya dari kategori Wira KBS merupakan seorang rider yang agak berkaliber. Pada tahun pertama di kategori tersebut, beliau yang telah berlumba untuk pasukan Yamaha Estremo 27 Racing telah menamatkan musim tersebut di tempat keempat secara keseluruhan dengan empat podium termasuk tiga kemenangan dan jumlah sebanyak 127 mata. Kini, pada musim pertama di kategori CP125 dan dengan masa yang singkat untuk mempelajari selok-belok perlumbaan di kategori yang agak rumit dan mencabar, Emil telah tampil bukan sahaja dengan peningkatan prestasi malah dengan daya saingan yang agak kompetitif.

Menurut Emil, “Langkah seterusnya untuk saya adalah untuk mengambil kedudukan kedua teratas dan untuk menjayakan matlamat tersebut, saya perlu menamatkan perlumbaan-perlumbaan yang akan datang di podium. Litar Tangkak adalah salah satu litar kegemaran saya dan saya mempunyai kelebihan di situ. Pelan saya adalah untuk mencari pelarasan jentera yang bagus seawal mungkin supaya saya lebih selesa ketika berlumba. Bagi saya, semua pelumba adalah pesaing terdekat saya. Masing-masing mempunyai kemahiran tertentu dan strategi masing-masing maka memang sukar untuk menentukan keputusan di akhir perlumbaan. Tetapi, saya akan bagi 100% untuk menjayakan matlamat saya.”

“Sejak turun dari CP150, saya dapat menimba pengalaman yang berlainan. CP125 juga agak susah terutamanya dari segi keselesaan di atas jentera. Tetapi yang penting adalah kerjasama daripada pasukan saya di mana setakat ini, saya telah mendapat bantuan dan kerjasama yang baik daripada mereka. Saya dapat melihat peningkatan prestasi dan setelah berlumba enam pusingan ini, saya juga rasa agak selesa dengan keadaan jentera dan kemahiran saya. Persediaan saya tertumpu kepada pembinaan diri dari segi fizikal dan mental. Dengan pasukan pula, mereka sedang bertungkus lumus dalam persediaan jentera yang dapat berfungsi dalam keadaan optima.”