Kejuaraan Cub Prix Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia telah melancarkan program pembangunan sukan permotoran dan pencarian bakat di peringkat akar umbi dengan memperkenalkan siri Mini Cub Prix KBS. Kejuaraan siri minibike ini menyasarkan pelumba-pelumba muda berusia enam hingga 12 tahun.
Buat permulaan, Mini Cub Prix KBS akan melibatkan empat kategori yang akan berlangsung sebanyak lima pusiingan pada tahun ini. Kategori Kidz merupakan kategori melibatkan pelumba dari usia enam hingga sembilan tahun manakala kategori Kadet melibatkan pelumba-pelumba berusia 10 dan 11 tahun. Kelas ‘Open’ pula terbuka buat pelumba berusia enam hingga 11. Apa yang paling penting dalam keseluruhan sistem pembangunan pelumba ini ialah kategori Junior.
Seramai 14 pelumba telah terpilih sebagai perintis kepada Mini Cub Prix Junior kategori melalui satu sesi pemilihan yang dijalankan sebelum ini. Perlumbaan akan dijalankan dengan konsep ‘One Make Race’ dengan menggunakan jentera lumba model 74Daijiro yang diimport khas dari Jepun. Selepas tamat lima pusingan, empat pelumba terbaik akan menerima slot biasiswa ke dalam perlumbaan satu pengeluar Honda dan Yamaha Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2019. Pelumba yang berada dalam kedudukan 10 terbaik turut menerima slot automatik dengan turut menerima penajaan dalam jumlah yang berbeza.
Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Ron Hogg merumuskan Mini Cub Prix KBS sebagai pelengkap kepada ekosistem Cub Prix buat pelumba Malaysia.
“Secara keseluruhan, Kejuaraan Cub Prix Malaysia dan Kejuaraan Motosikal Asia boleh dianggap sudah berjaya dan menjadi landasan penting kepada industri sukan permotoran. Dengan adanya dua landasan perlumbaan profesional dua roda dimana pelumba Malaysia dapat mengembangkan karier perlumbaan mereka, kami telah membantu memeriahkan dan menjayakan industri sukan permotoran di Malaysia. Dengan pelancaran Mini Cub Prix KBS ini, kami telah menambah satu lagi landasan kepada ekosistem ini, dimana ia akan dapat menjadikan proses mengesan dan mengenalpasti bakat muda secara sistematik.”
Ron menambah pelancaran Mini Cub Prix KBS sangat bermakna terutama bersempena dengan sambutan ulangtahun musim ke-25 Kejuaraan Cub Prix pada tahun ini. “Kami berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia yang menyokong dan menjadi tunjang penting kepada Mini Cub Prix KBS. Pada masa sama kami berterima kasih kepada rakan penaja kami selama ini, PETRONAS, pengeluar motosikal Honda, Modenas dan Yamaha, begitu juga dengan pasukan dan pelumba Cub Prix diatas sokongan dan kerjasama mereka.”
Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Tuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang hadir melancarkan Mini Cub Prix KBS berkata penganjuran perlumbaan tersebut selari dengan sasaran kementerian dalam pembangunan sukan permotoran di Malaysia. “Pihak Kementerian Belia dan Sukan sentiasa menyokong kepada pembangunan sukan permotoran di negara. Pihak KBS memberi komitmen penuh, malah kami memberikan sokongan di semua peringkat dalam sukan permototan, dari peringkat akar umbi sehinggalah ke peringkat MotoGP.”
“Pihak Kementerian mahu melihat lebih ramai remaja mendapat manfaat daripada pelbagai program permotoran yang dijalankan, bukan hanya segelintir pihak sahaja. Dalam kata lain, kami berharap dapat memperluaskan dan dapat mengesan bakat dengan lebih meluas dan mendalam, memberi peluang kepada lebih ramai remaja Malaysia untuk merealisasikan impian mereka untuk menjadi profesional di dalam bidang permotoran.”
KALENDAR MINI CUB PRIX KBS 2018
Pusingan 1 | Â MAEPS, Selangor | September 16, 2018 |
Pusingan 2 | Kuala Terengganu, Terengganu | 5 – 6 Oktober, 2018 |
Pusingan 3 | Batu Kawan, Pulau Pinang | 27 – 28 Oktober, 2018 |
Pusingan 4 | Jempol, Negeri Sembilan | 17 – 18 November, 2018 |
Pusingan 5 | Bandar Penawar, Johor | 15 – 16 Disember, 2018 |