KASMA CIPTA JURANG SELESA

Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 di Litar Lumba Tangkak, Johor memperlihatkan penguasaan luar biasa daripada Kasma Daniel Kasmayudin apabila pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR itu muncul sebagai pelumba terpantas keseluruhan kategori CP150.

Kasma mencatat masa terpantas 43.347s, jauh meninggalkan pencabar terdekatnya, Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, yang berada di kedudukan kedua dengan catatan 43.568s. Jurang 0.221s itu membuktikan prestasi konsisten Kasma yang terus memberi tekanan kepada barisan pencabar.

Tempat ketiga menjadi milik Azroy Hakeem Anuar dari HONDA ESTREMO YUZY RACING dengan masa 43.654s, diikuti oleh Md Faiz Zekri Sabri dari ATAS AHM MOTOR SPORTS yang mencatat 43.675s dan Md Shafiq Rasol dari TKKR RACING TEAM pada 43.702s untuk melengkapkan kelompok lima terpantas. Walaupun kedudukan kedua hingga kelima dipisahkan kurang daripada dua persepuluh saat, kelebihan yang dimiliki Kasma nyata menjadikan dirinya selesa di hadapan.

Kasma berkata, “Sesi Kelayakan 2 lebih tenang untuk menunggang kerana kami tidak terlalu memikirkan tentang had trek. Sebelum ini, pada sesi Latihan 1, kami perlu berhati-hati supaya tidak melepasi garisan putih. Kali ini boleh melebihi garisan putih kecuali garisan hijau. Itu adalah satu peluang yang bagus untuk para pelumba mencuba sehabis baik dengan ruang tambahan yang dibenarkan. Alhamdulillah, jika pada Kelayakan 2 ini saya masih diberi kesempatan berada di P1 sekali lagi, Insyaallah pada sesi Super Pole saya akan cuba kekalkan pencapaian seperti sekarang.”

TOP 5 FASTEST – QUALIFYING SESSION (COMBINED)

  1. Kasma Daniel Kasmayudin – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (43.347s)
  2. Ahmad Afif Amran – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (43.568s)
  3. Azroy Hakeem Anuar – HONDA ESTREMO YUZY RACING (43.654s)
  4. Md Faiz Zekri Sabri – ATAS AHM MOTOR SPORTS (43.675s)
  5. Md Shafiq Rasol – TKKR RACING TEAM (43.702s)