KASMA CIPTA JURANG, MUDAH UNGGUL DI LITAR BASAH

Pusingan 2 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 berlangsung petang ini di Litar Lumba Tangkak, Johor, menyaksikan Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR mudah mengungguli perlumbaan kategori CP150.

Pada sesi Super Pole yang berlangsung pagi tadi, Kasma mencatat masa terpantas 43.364s untuk menempah petak utama di grid. Beliau diikuti rapat oleh Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING di tempat kedua dengan 43.468s, manakala Azroy Hakeem Anuar dari HONDA ESTREMO YUZY RACING melengkapkan barisan hadapan dengan 43.543s.

Dalam perlumbaan akhir, Kasma bermula cemerlang dengan segera mengetuai kelompok hadapan, diekori oleh Afif dan Nazirul Izzat Md Bahauddin, juga dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR. Seawal pusingan kedua, ketiga-tiga pelumba ini mula mencipta jurang 1.264s daripada kumpulan kedua.

Kedudukan di hadapan kekal konsisten, namun di P5, Md Helmi Azman dari MAEZTRO SCK HONDA RACING TEAM berjaya memintas Azroy untuk naik ke P4, manakala Akid turut memberikan tekanan dari belakang.

Ketika perlumbaan semakin rancak dan litar semakin dikuasai pelumba walaupun dalam keadaan basah, insiden malang menimpa Nazirul apabila beliau terjatuh di selekoh terakhir menjelang dua pusingan terakhir. Ini membuka ruang kepada Helmi untuk naik ke kedudukan ketiga.

Kasma terus menguasai perlumbaan dan menamatkan aksi dengan penuh bergaya pada 11’11.389s, iaitu 1.644s di hadapan Afif yang berada di tempat kedua dengan masa 11’13.033s. Helmi melengkapkan podium di tempat ketiga dengan catatan masa 11’15.441s.

“Impian saya kali ini tercapai. Dari hari pertama lagi, kami berada di kedudukan teratas. Saya memang sangat ingin menang di tempat sendiri selepas sekian lama tidak meraih sebarang kemenangan di halaman sendiri. Alhamdulillah, dengan bantuan pasukan yang percaya dan terus menyokong saya serta menyediakan jentera yang cukup baik, hari ini saya berjaya menang di tempat sendiri. Saya akan terus berusaha sehingga penghujung musim ini.”