IZAM BERAZAM MENGUASAI LITAR TANGKAK

Pusingan kedua Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan kembali ke Kompleks Sukan Permotoran Tangkak pada hujung minggu ini. Md Izam Ikmal dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing sudah bersedia untuk menyahut cabaran yang bakal menanti di kategori CP125.

Sejak bermulanya bab baharu bersama pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing pada musim lepas, prestasi Izam melonjak bukan sekadar memuaskan tetapi dengan pencapaian yang cemerlang. Beliau mengakhiri musim 2024 di tangga kedua secara keseluruhan. Namun begitu, prestasi tersebut tidak mencukupi bagi Izam yang pada ketika itu telah berazam untuk meraih gelaran juara. Di acara pembuka tirai musim 2025, Izam telah tampil dengan persembahan yang hebat lalu menyambar kedudukan pertama di podium.

Dengan sembilan pusingan lagi, masih awal untuk menentukan arah tuju pelumba yang berasal dari Selangor ini. Tetapi apa yang pasti, Izam tidak akan melepaskan peluang untuk merebut takhta kejuaraan. Di pusingan kedua yang akan berlangsung di Tangkak, mampukah Izam mengekalkan kedudukannya? Pada musim lepas, persaingan sengit di antara pelumba-pelumba kategori ini telah menempatkan Izam di tempat kesepuluh pada pusingan kedua dan tempat kelima pada pusingan ketujuh. Dengan peningkatan prestasi yang agak ketara di antara kedua-dua pusingan tersebut, jelas ternyata Izam mampu bersaing setara dengan pelumba-pelumba lain yang mahir di litar tersebut.

Menurut Izam, “Pada pendapat saya, Litar Tangkak tidak memberikan saya rezeki dan keputusan terbaik saya di situ hanyalah di tempat ke lima. Cabarannya adalah dari segi kecergasan fizikal di mana saya mungkin mempunyai sedikit kekurangan. Persaingan terkuat saya adalah Syamil, Haziq dan Shafiq. Mereka masing-masing mempunyai kelebihan di situ maka saya perlu lebihkan usaha untuk bersaing dengan lebih baik.”

“Persediaan kali ini, saya lebih fokus dan memberikan kepentingan kepada kekuatan mental. Yang lain adalah seperti biasa. Bagi saya, yang menarik mengenai Litar Tangkak adalah “uphill corner” yang agak mencabar. Itu salah satunya keunikkan litar tersebut. Untuk pusingan kedua nanti, saya akan cuba kekalkan kelajuan yang konsisten sepanjang perlumbaan kerana ia adalah penting untuk membina persaingan yang setaraf dengan pelumba-pelumba di hadapan.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *