HADIAH KASMA BUAT HARI JADI IBU

Perlumbaan CP150 di Pusingan 5 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 menyajikan aksi dramatik dan penuh emosi apabila Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR muncul pemenang selepas pertarungan sengit di Litar Permotoran Terengganu sekaligus mencatat kemenangan keduanya musim ini.

Sesi Super Pole pagi tadi, Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING mempamerkan prestasi cemerlang dengan catatan masa terpantas 49.073s untuk merebut petak utama. Beliau diapit oleh Kasma dengan catatan masa 49.111s dan rakan sepasukan Kasma, Danial Syahmi Ahmad Shahril pada 49.302s di petak ketiga.

Perlumbaan bermula panas dengan Afif memimpin, diikuti rapat oleh rakan sepasukannya, Md Akid Aziz dan Kasma, sebelum Nazirul Izzat Md Bahauddin memintas ke hadapan.

Namun hanya selepas tiga pusingan, drama tercetus apabila dua pelumba, Md Idil Fitri Mahadi dari JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM dan Akid terjatuh dan keluar dari perlumbaan.

Insiden pada pusingan ke-4 memaksa perlumbaan diberhentikan apabila bendera merah dikibarkan. Perlumbaan disambung dengan format 10 pusingan berdasarkan kedudukan pada lap ke-4: Afif di petak pertama, Kasma di petak kedua, dan Nazirul melengkapkan barisan hadapan.

Sebaik perlumbaan bersambung, Nazirul agresif menyerang dan mengambil alih kedudukan pendahulu, diikuti Afif dan Kasma yang membayangi rapat.

Namun, kegawatan berterusan. Pada pusingan ke-7, dua pelumba termasuk Nazirul dan Md Shafiq Rasol dari TKKR RACING TEAM terjatuh, sekaligus membuka ruang untuk perubahan kedudukan.

Afif kembali menguasai perlumbaan dengan Kasma mengekori rapat. Di belakang, Danial kekal konsisten di tempat ketiga, dibayangi Md Faiz Zekri Sabri dari ATAS AHM MOTOR SPORTS.

Pusingan ke-12 menyaksikan detik penentu apabila Kasma menyalakan rentaknya dan mencatatkan masa terpantas 48.854s, sebelum berjaya memintas Afif dan merampas kedudukan pendahulu.

Persaingan menjadi semakin sengit di pusingan terakhir, namun Kasma mengekalkan kawalan penuh dan menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 22’41.557s. Afif hanya 0.034s di belakang dengan catatan 22’41.591s, manakala Danial mengukuhkan podium buat PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR di tempat ketiga dengan masa 22’43.358s.

Kasma berkata, “Hari ini adalah hari jadi mak saya dan saya memang teringin sangat hadiahkan kemenangan ini kepadanya. Alhamdulillah, saya berjaya tunaikan impian itu. Perlumbaan tadi memang sangat sengit, saya akui ada sedikit persentuhan, tapi ini adalah lumrah dalam perlumbaan, kalau nak menang, kita kena berikan segalanya. Saya sangat bersyukur dapat capai apa yang saya idamkan di Terengganu ini. Masih banyak baki perlumbaan musim ini, jadi saya akan terus fokus untuk kekalkan prestasi demi kemenangan seterusnya.”

TOP 5 FASTEST – FINAL RACE

  1. Kasma Daniel Kasmayudin – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (22’41.557s)
  2. Ahmad Afif Amran – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (22’41.591s)
  3. Danial Syahmi Ahmad Shahril – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (22’43.358s)
  4. Md Faiz Zekri Sabri – ATAS AHM MOTOR SPORTS (22’45.570s)
  5. Md Irfan Haykhal Amidi – MAEZTRO SCK HONDA RACING TEAM (22’48.796s)