FIRDAUS: PELUMBA CILIK, JIWA BESAR

“Sedangan terjatuh di pertengahan perlumbaan pun membuatkan saya berasa tidak berpuas hati, apatah lagi jika terjatuh di awal perlumbaan. Setiap pelumba pasti merasai perasaan yang sama apabila tidak berpeluang bersaing dengan pelumba lain sehingga garisan penamat.”

Ini adalah luahan Md Firdaus Md Hamdan dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING, yang berasa kecewa terpaksa keluar dari litar seawal pusingan kedua perlumbaan CP125 yang berlangsung di Pusingan 8 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan.

Firdaus berkongsi, “Saya bermula di petak ke-12. Seperti biasa, semua pelumba menginginkan kemenangan dan berjuang untuk ‘holeshot’ di awal perlumbaan. Ketika perlumbaan berlangsung, semua pelumba agak laju. Saya berusaha mengejar kelompok hadapan, tetapi di pusingan kedua, motor saya mengalami ‘highside’ di selekoh pertama dan itu membuatkan saya terjatuh.”

“Saya terpaksa melepaskan peluang untuk menyelesaikan perlumbaan di Dataran Seri Jempol kerana motor saya rosak, dan saya juga merasakan kesakitan di bahagian dada. Saya tetap bangun, tetapi tidak dapat meneruskan perlumbaan pada masa itu. Jadi, saya hanya mampu menerima keputusan DNF (Did Not Finish) untuk pusingan ini.”

Susulan kecederaan yang dialami, Firdaus kini terpaksa akur dengan nasihat doktor untuk berehat. “Selepas pemeriksaan, keputusan menunjukkan bahawa dada saya bengkak sedikit akibat terjatuh semasa perlumbaan. Buat masa ini, saya sedang menjalani pemulihan.”

“Namun, saya tidak akan berhenti berjuang di sini. Saya akan berusaha keras untuk perlumbaan yang akan datang. Saya berharap dapat sembuh sebelum pusingan seterusnya di Bandar Medini Iskandar, Johor. Saya memohon doa daripada kawan-kawan dan penyokong, semoga keadaan saya pulih seperti sedia kala.”