Dalam siri perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia kini dipecahkan kepada 3 kategori MotoGP, Moto2 dan Moto3. Klasifikasi perlumbaan ini telah disesuaikan mengikut peredaran zaman dan perkembangan teknologi terkini motosikal sejak ianya mula diperkenalkan pada 1949. Siri perlumbaan ini pernah mencecah sehingga 8 kategori pada satu masa merangkumi 50cc, 80cc, 125cc, 350cc dan 500cc bagi kategori solo dan 300cc dan 500cc bagi kategori sidecar.
Pada era 80an kategori 350cc telah dihapuskan. Kategori 50cc pula telah digantikan dengan kategori 80cc dan kemudian dikeluarkan dari kalendar pertandingan pada tahun 90an bersama kategori sidecar menjadi hanya 3 kategori iaitu 125cc, 250cc dan 500cc.
Secara keseluruhan pengunaan enjin bagi ketiga-tiga kategori telah berubah dari semasa ke semasa. Pada era 50an dan 60an ianya didominasi oleh jentera empat lejang sebelum ambil alih oleh pengeluar motosikal dari Jepun seperti Honda, Yamaha dan Suzuki dengan teknologi dua lejang pada era 70an bermula dengan kemenangan pertama jentera Yamaha pada 1974.
Sejak dari situ, ternyata teknologi dua lejang memberikan impak yang besar disebabkan penghasilan kuasa optimum dengan kapisiti enjin yang kecil dan ringan sekaligus menyaksikan ketiga-tiga pengeluar ini saling berganti takhta kejuaraan yang sebelum itu dimonopoli pengeluar motosikal Eropah terutamanya MV Agusta .
Dominasi enjin dua lejang berlarutan ke era 90an sehingga dikejutkan dengan kemunculan jentera empat lejang NSR500 pada 1992 yang dikenali sebagai big bang hasil inovasi kejuruteraan oleh Honda. Honda sebenarnya kembali menyertai kejuaraan ini pada 1979 menggunakan teknologi empat lejang namun menemui kegagalan sehingga terpaksa beralih ke teknologi dua lejang untuk mencatat kemenangan pada 1983. Kehebatan big bang bermula apabila Shinichi Itoh melepasi kelajuan 200 batu/jam menggunakan jentera ini pada 1993. Dominasi jentera ini diteruskan apabila berjaya menjuarai kelas 500cc ini dari 1994 hingga 1999 menerusi pelumba lagenda Mick Doohan.
Sejak itu teknologi empat lejang mula mendapat perhatian dan pada 2002, kategori 500cc telah dinamakan MotoGP selaras dengan peraturan baru membenarkan jentera empat lejang 990cc bersaing dengan jentera dua lejang 500cc menyaksikan semua pasukan beralih ke jentera empat lejang. Kapasiti enjin maksimum kemudian diubah kepada 800cc pada tahun 2007 sebelum dinaikkan kepada 1000cc pada tahun 2012.
Berbanding kategori perdana, saingan dalam kategori 125cc dan 250cc dikhaskan untuk jentera dua lejang sehinggalah pada 2010 kategori 250cc digantikan dengan Moto2 yang mana menggunakan enjin empat lejang 600cc dan akhirnya pada 2012 kategori 125cc telah digantikan dengan kategori Moto3 yang membenarkan penggunaan enjin maksimum 250cc.
Sehingga kini, syarat utama jentera yang digunakan untuk siri kejuaraan ini mestilah direka khas untuk perlumbaan atau dikenali sebagai prototype dan bukan dari model keluaran untuk kegunaan awam. Ia juga mesti menggunakan enjin empat lejang maksimum 6 gear tanpa super charge atau turbo selain mematuhi syarat-syarat spesifikasi yang telah ditetapkan oleh penganjur. Penggunaan bahan-bahan yang ringan seperti titanium dan karbon fiber yang dikukuhkan dibenarkan disamping teknologi terkini merangkumi brek disc karbon, sistem pengurusan enjin dan teknologi kawalan cengkaman yang tidak terdapat pada jentera pengeluaran biasa.
MotoGP
Bagi kategori MotoGP kapasiti maksimum enjin dibenarkan adalah 1000cc menggunakan tidak lebih empat silinder 81mm. Minimum berat jentera adalah 150kg bagi yang menggunakan kapasiti enjin 800cc dan ke bawah manakala 160kg bagi kapasiti enjin 801cc hingga 1000cc. Maksimum penggunaan 5 enjin dibenarkan bagi setiap pelumba bagi sepanjang musim berlangsung manakala bagi setiap perlumbaan dibenarkan menggunakan dua jentera yang sama (hanya berbeza untuk perlumbaan ketika kering dan hujan) bagi tujuan flag-to-flag jika cuaca hujan. Ini bagi membolehkan pelumba menukar jentera apabila bendera putih dinaikkan akibat hujan ketika perlumbaan berlangsung tanpa menghentikan perlumbaan. Bermula 2014, semua jentera diwajibkan menggunakan perkakasan dan perisian Magneti Marelli pada kerangka prototype berserta enjin keluaran kilang yang boleh ditala tanpa ada had maksimum.
Moto2
Menggunakan Enjin Rasmi Moto2 yang sama pada semua jentera – enjin empat lejang khas yang dibekalkan oleh Honda dan bermula musim 2019 akan enjin akan dibekalkan oleh Triumph dengan kapasiti enjin 600cc dengan pengunaan kerangka prototype sendiri oleh setiap pasukan. Berat minimum 215kg diperlukan dalam kategori ini dan berat ini merangkumi berat keseluruhan jentera bersama pelumba yang berkelengkapan penuh. Tidak seperti MotoGP hanya satu jentera dibenarkan.
Moto3
Bebas menggunakan enjin 4 lejang 250cc bersilinder tunggal dari mana-mana pengeluar dengan had putaran crankshaft 14,000rpm dengan kerangka prototype dan ECU standard. Berat minimum jentera bersama pelumba berkelangkapan penuh adalah 148kg. Seperti Moto2 tiada jentera gantian dibenarkan.
Leave a Reply