“BANYAK LAGI RUANG UNTUK DIPERBAIKI” – NUZZUL

Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan kembali ke Litar Lumba Tangkak pada hujung minggu ini untuk pusingan ke-7. Bolehkah Nuzzul Ady Mad Sudin dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing mengulangi pencapaiannya di litar tersebut bagi kategori Wira KBS?

Di pusingan dua yang telah berlangsung di Litar Tangkak, Nuzzul telah tampil dengan kemahiran dan strategi yang hebat dalam mengatasi cabaran keadaan hujan dan litar basah. Beliau juga telah menunjukkan kebolehan untuk mengelak kemalangan dan mencuri peluang pada masa yang tepat di selekoh terakhir sebelum meraih tempat kedua. Pengalaman tersebut adalah penting kerana ia memberikan pelumba suatu keyakinan yang berlainan dan bagi Nuzzul, ia juga memberikan beliau peluang untuk merancang perlumbaan yang akan datang dengan lebih teliti.

Sebelum mara ke kategori Wira KBS, Nuzzul merupakan pelumba “one-make” dari kategori Yamaha PETRONAS Super Series. Beliau menamatkan musim 2024 di kategori tersebut di tangga keempat setelah menaiki podium di kedudukan kedua dan ketiga dengan kumpulan sebanyak 145 mata. Kini, di kategori Wira KBS, beliau menduduki tempat keenam secara keseluruhan setelah “DNS” di pusingan keenam dengan jumlah sebanyak 47 mata. Dengan perbezaan sebanyak 30 mata daripada pelumba di tempat ketiga, Nuzzul masih mempunyai peluang untuk mencapai tempat ketiga teratas sebelum tamatnya musim ini.

Menurut Nuzzul, Pada pusingan kedua di Tangkak, saya rasa kelebihan utama saya adalah dari segi keyakinan dan keserasian dengan jentera, terutamanya dalam keadaan litar yang agak teknikal. Pelarasan jentera yang stabil dan komunikasi bersama pelatih dan krew pasukan saya juga banyak membantu. Saya akan terus cuba sedaya upaya untuk mengulangi pencapaian saya di Tangkak. Dengan persiapan yang rapi, saya agak yakin dapat tampil dengan persembahan yang kompetitif di pusingan akan datang. Secara keseluruhan, semua pelumba dalam kategori Wira KBS mempunyai kekuatan masing-masing. Namun begitu, bagi saya, Md Akif merupakan salah seorang pesaing terdekat kerana beliau telah menunjukkan prestasi yang konsisten sepanjang enam pusingan ini. Beliau juga berjaya meraih podium di setiap pusingan. Akif memberikan cabaran yang besar dan menjadi salah satu motivasi untuk terus memperbaiki diri.”

“Berbaki empat pusingan, fokus saya adalah untuk mengekalkan tahap konsisten di setiap pusingan. Setiap mata sangat berharga bagi saya jadi saya akan berusaha meminimakan kesilapan, tingkatkan kawalan ketika berlumba dan sentiasa berusaha untuk kekal dalam kelompok pungutan mata. Saya juga akan lebih fokus untuk mengejar kedudukan keseluruhan dalam tiga terbaik sebagai matlamat jangka pertengahan. Saya akui memang banyak ruang untuk diperbaiki terutamanya dari segi prestasi dan kematangan perlumbaan. Buat masa kini, saya banyak menjalani latihan kecergasan dan fizikal secara konsisten dan turut menganalisa semula data perlumbaan. Selain itu, saya banyak berbincang dengan pelatih saya dan pasukan untuk mengenali aspek teknikal. Kategori “one-make” dan Wira KBS amat berbeza terutamanya dari segi jentera dan gaya tunggangan. Di kategori ini, cabarannya datang dari pelbagai aspek teknikal yang memerlukan perlarasan dan penyesuaian yang lebih mendalam untuk meraih kedudukan yang lebih baik. Saya akan cuba yang terbaik untuk pusingan akan datang.”