ARASH TUNGGAL DI BAWAH 45 SAAT

Persaingan kategori CP125 pada Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 di Litar Lumba Tangkak, Johor menyaksikan aksi cemerlang daripada Arash Tsunami Kamarudin apabila pelumba ATAS AHM MOTOR SPORTS itu menamatkan sesi kelayakan dengan catatan terpantas 44.935s. Lebih manis, Arash muncul sebagai satu-satunya pelumba dalam CP125 yang berjaya merekodkan masa bawah 45 saat hari ini, sekaligus membuktikan kelebihan nyata yang dimilikinya berbanding pesaing lain.

Kejayaan ini memberi kelebihan moral buat Arash menjelang perlumbaan esok, setelah beliau tampil dominan dengan kelebihan kelebihan lebih tiga persepuluh saat berbanding pencabar terdekat.

Di tempat kedua ialah Md Syamil Amsyar Md Iffende dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, iaitu juara keseluruhan CP125 musim 2024, dengan catatan 45.275s. Walaupun cuba memberi tentangan, Syamil terpaksa akur di belakang Arash. Sementara itu, Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM melengkapkan kedudukan tiga teratas dengan masa 45.404s.

Kedudukan lima terbaik diteruskan oleh Md Farid Hakimi Farid Sezli dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING yang mencatat 45.477s, serta Md Khairi Asyraf Mahmood dari JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM yang menempah kedudukan kelima dengan masa 45.527s. Dengan perbezaan tipis kurang tiga persepuluh saat antara kedudukan kedua hingga kelima, perebutan podium dijangka menjadi tumpuan esok.

Arash berkata, “Syukur Alhamdulillah, jentera saya berada dalam keadaan yang baik hari ini hasil kerja keras pasukan. Saya gembira dengan keputusan ini, tetapi saya tahu cabaran sebenar adalah pada perlumbaan esok. Insyaallah, saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk mengekalkan momentum ini dan berikan saingan habis-habisan bagi mencapai podium.”

TOP 5 FASTEST – QUALIFYING SESSION (COMBINED)

  1. Arash Tsunami Kamarudin – ATAS AHM MOTOR SPORTS (44.935s)
  2. Md Syamil Amsyar Md Iffende – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (45.275s)
  3. Md Idlan Haqimi Raduan – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (45.404s)
  4. Md Farid Hakimi Farid Sezli – PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING (45.477s)
  5. Md Khairi Asyraf Mahmood – JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM (45.527s)