AQID KECEWA DI JEMPOL

Md Aqid Jumali dari Selangor memasuki saingan PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup di Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix 2024 dengan harapan tinggi dan keyakinan yang tidak tergoyahkan. Selepas tujuh pusingan yang penuh dengan cabaran dan kejayaan, Aqid berjaya meraih tempat teratas keseluruhan. Namun, Pusingan 8 di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan menjadi mimpi ngeri yang menghancurkan harapan dan mimpinya.

Pada Pusingan 8, Aqid mengalami kejatuhan yang teruk pada awal perlumbaan. Dengan penuh kecewa, Aqid berkongsi pengalamannya: “Pada pusingan 8, saya terjatuh di awal pusingan. Saya cuba hidupkan semula jentera tetapi tidak berjaya. Dengan keadaan sakit di badan dan tangan, saya terpaksa menerima kenyataan untuk tidak meneruskan perlumbaan.”

Gagal meraih sebarang mata di Dataran Seri Jempol, kedudukan Aqid dipintas oleh Md Alaff Hairulnizan dari Pulau Pinang dalam kedudukan keseluruhan. Rasa kecewa begitu jelas ketika Aqid mengungkapkan perasaannya: “Saya berasa amat kecewa tidak dapat mengutip mata di Pusingan 8. Walaupun kedudukan keseluruhan saya dipintas, ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus bersaing hingga ke pusingan akhir.”

Meskipun terus berdepan cabaran, Aqid tetap tabah dan bersemangat. Dia belajar dari pengalaman pahit ini dan berjanji untuk bangkit lebih kuat. “DNF adalah perkara biasa dalam perlumbaan. Walau bagaimanapun, saya akan tetap berusaha untuk pusingan akan datang.”

Aqid memulakan musim ini dengan kemenangan gemilang di dua pusingan awal. Dengan baki dua pusingan di Bandar Medini Iskandar, Johor Bahru dan Stadium Negeri Pulau Pinang, Aqid masih melihat peluang untuk menang. “Peluang untuk menang itu tidak mustahil. Kalau sudah nama rezeki, pasti akan datang.”

Mengenai tahap keyakinannya untuk mencabar gelaran juara musim ini, Aqid dengan rendah hati berkata: “Keyakinan saya untuk kejuaraan musim ini tidak terlalu tinggi dari awal. Saya harap persaingan kedudukan keseluruhan akan terus sengit hingga ke pusingan akhir Malaysian Cub Prix.”

Pusingan 8 terus menjadi salah satu episod yang sukar untuk dilupakan, tetapi semangat juangnya memastikan bahawa perjuangan ini belum berakhir. Dengan dua pusingan lagi untuk menutup musim ini, Aqid bertekad untuk kembali lebih kuat dan menuntut gelaran yang diimpikannya.