AKIF CIPTA KEMENANGAN BERGAYA

Perlumbaan Wira KBS pada Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 di Litar Lumba Tangkak, Johor menyaksikan penguasaan hebat daripada ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM apabila Md Akif Abdullah dan Adi Putra Anahar menghadiahkan podium berganda buat pasukan tersebut.

Sebaik perlumbaan bermula, Akif pantas memimpin kelompok hadapan, diekori rapat oleh Farres Putra Md Fadhill dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Md Akid Md Shah Khearul Nisiam, Nuzzul Ady Mad Sudin dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING serta rakan sepasukannya, Adi.

Memasuki pusingan ke-3, Akif mencatat masa terpantas perlumbaan 46.084s, sekali gus melebarkan jurang hampir 2 saat di hadapan kumpulan pengejar yang terdiri daripada Farres, Akid, Adi dan Md Al-Syafiq Md Al-Amirul Zaki dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING.

Pada pusingan berikutnya, jurang Akif terus melebar sehingga 3 saat, namun Adi bangkit dengan prestasi cemerlang apabila merekodkan masa 45.854s catatan terpantas perlumbaan untuk memintas Farres dan cuba mengecilkan perbezaan dengan rakan sepasukannya.

Drama tercetus pada pusingan ke-7 apabila Al-Syafiq dan Akid yang sedang bersaing untuk kedudukan podium terjatuh, sekali gus memberi ruang kepada Farres dan rakan sepasukannya, Raiyan Khardanee Md Sanusi untuk mengekalkan kedudukan dalam kelompok lima terbaik.

Di pusingan terakhir, Akif yang selesa di hadapan menamatkan perlumbaan dengan penuh bergaya, mencatat masa keseluruhan 9’15.401s tanpa sebarang tekanan. Adi pula memastikan podium berganda buat pasukan selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan 9’16.832s, hanya 1.431s di belakang Akif. Farres melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga dengan 9’19.846s.

Raiyan menamatkan perlumbaan di tempat keempat pada 9’26.040s, manakala Md Naqib Rifqi Zulhelmi dari RS MEGATECH RACING TEAM menutup senarai lima terbaik dengan catatan 9’26.269s.

Akif berkata, “Sejak dari awal saya cuba mengekalkan fokus untuk bina jurang dengan pesaing lain. Apabila melihat strategi itu menjadi, saya lebih tenang untuk kawal rentak sehingga garisan penamat. Kemenangan ini bukan sahaja untuk saya, tetapi juga untuk seluruh pasukan yang bekerja keras sepanjang minggu ini.”

TOP 5 FASTEST – RACE

  1. Md Akif Abdullah – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (9’15.401s)
  2. Adi Putra Anahar – ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM (9’16.832s)
  3. Farres Putra Md Fadhill – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (9’19.846s)
  4. Raiyan Khardanee Md Sanusi – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING (9’26.040s)
  5. Md Naqib Rifqi Zulhelmi – RS MEGATECH RACING TEAM (9’26.269s)