AKID TERPANTAS, AFIF MENGEJAR

Pusingan 4 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 yang berlangsung di Stadium Mini Teluk Intan, Perak hari ini menyaksikan Md Akid Aziz dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan kategori CP150.

Dalam sesi kelayakan 1 CP150 A, Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING mendahului dengan catatan 48.417s, diikuti Nazirul Izzat Md Bahauddin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR di tempat kedua dengan 48.643s, manakala rakan sepasukannya, Danial Syahmi Ahmad Shahril, di tempat ketiga dengan 48.731s.

Sementara itu, dalam sesi kelayakan 1 CP150 B, Azroy Hakeem Anuar dari HONDA ESTREMO YUZY RACING merekodkan masa terpantas 48.512s. Md Aiman Md Hafis dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING menduduki tempat kedua dengan 48.589s, diikuti rakan sepasukan Azroy, Shahrol Syazras Shahrol Yuzy, di tempat ketiga dengan 48.822s.

Saingan semakin sengit dalam sesi kelayakan 2 CP150 A apabila Akid berjaya memperbaiki catatan masanya kepada 48.407s, sekaligus menduduki tempat pertama, meletakkan rakan sepasukannya, Afif, di kedudukan kedua dengan 48.441s. Md Faiz Zekri Sabri dari ATAS AHM MOTOR SPORTS melengkapkan tiga teratas dengan 48.770s.

Dalam sesi kelayakan 2 CP150 B, Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR mencatat masa terpantas 48.539s. Azroy berada di tempat kedua dengan 48.675s, manakala Md Helmi Azman dari MAEZTRO SCK HONDA RACING TEAM di tempat ketiga dengan 48.770s.

Secara keseluruhan, Akid muncul sebagai pelumba terpantas kategori CP150, dengan Afif dan Azroy masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga.

Akid berkata, “Sejak pagi saya cuba dapatkan pelarasan yang terbaik kerana pelarasan semasa di LYL (Pusingan 3) memang tidak memuaskan untuk saya dapatkan kedudukan di depan. Untuk sesi kelayakan 2 ini, Alhamdulillah ada peningkatan tetapi saya rasa masih belum cukup untuk memberi saingan kepada Afif. Bagi saya, Afif sangat konsisten dan agak sukar untuk saya kejar. Jadi, untuk saya mengekalkan konsistensi itu agak berisiko. Dari segi suspensi pun saya rasa masih belum sempurna. Ia menyebabkan kawalan hendal tidak stabil, keyakinan pun kurang, jadi bila saya cuba, motosikal bergerak terlalu banyak.”

TOP 5 FASTEST – QUALIFYING SESSION (COMBINED)

  1. Md Akid Aziz – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (48.407s)
  2. Ahmad Afif Amran – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (48.417s)
  3. Azroy Hakeem Anuar – HONDA ESTREMO YUZY RACING (48.512s)
  4. Kasma Daniel Kasmayudin – PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR (48.539s)
  5. Md Aiman Md Hafis – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (48.589s)