AFIF MENGAUM DI SEPANG

Perlumbaan CP150 Pusingan 6 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix menyaksikan penguasaan menyeluruh daripada Ahmad Afif Amran dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING yang mempamerkan tunggangan tanpa cela untuk membawa pulang kemenangan bergaya di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan), sekali gus menghadiahkan kejayaan podium berganda buat pasukan CKJ Racing menerusi rakan sepasukannya, Md Akid Aziz.”

Afif memulakan perlumbaan dengan sempurna apabila merampas posisi pendahulu sebaik perlumbaan dimulakan, diekori rapat oleh Md Hafiza Rofa dari TKKR RACING TEAM serta rakan sepasukannya sendiri, Akid. Turut melibatkan diri ke dalam kelompok utama ialah Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR serta Md Faiz Zekri Sabri dari ATAS AHM MOTOR SPORTS yang mula menjarakkan diri daripada pelumba lain.

Memasuki pusingan ke-3, Afif mencatat masa terpantas perlumbaan 1’16.037s, sekaligus melebarkan jurang hampir dua saat di hadapan sebelum Hafiza yang berada di kedudukan kedua mengalami isu teknikal serta terpaksa menamatkan perlumbaannya lebih awal. Aksi perebutan tempat kedua kemudian bertukar menjadi pertarungan lima pelumba antara Md Fareez Afeez Abd Rahman dari JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM, Shahrol Syazras Shahrol Yuzy serta Azroy Hakeem Anuar dari HONDA ESTREMO YUZY RACING, dan Md Helmi Azman dari MAEZTRO SCK HONDA RACING TEAM.

Afif terus selesa di hadapan memasuki pusingan ke-10 dengan kelebihan hampir lapan saat, sementara Azroy, Helmi, dan Faiz bersaing sengit memburu baki tempat podium. Di saat akhir, Akid melakukan kebangkitan hebat untuk memintas kembali ke kedudukan kedua, menjadikan hari yang sempurna buat CKJ Racing.

Afif menamatkan perlumbaan 14’03.643s, diikuti Akid 14’11.228s di tempat kedua, Azroy mengisi podium ketiga dengan beza hanya 0.091s di belakang Akid. Helmi Azman sekadar berpuas hati di tempat keempat pada 14’11.401s, diikuti Md Iqbal Amri Abdul Malek dari TKKR RACING TEAM mencatatkan 14’11.439s untuk berada di tempat kelima.

Afif berkongsi, “Dalam perlumbaan tadi saya cuba menekan sejak awal. Apabila saya lihat kumpulan kedua sudah mula ketinggalan sedikit, saya ambil keputusan untuk cuba meloloskan diri lebih awal. Alhamdulillah, strategi itu berhasil hingga ke garisan penamat, saya berjaya menamatkan perlumbaan dan meraih kemenangan ini.”

TOP 5 FASTEST – RACE

  1. Ahmad Afif Amran – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (14’03.643s)
  2. Md Akid Aziz – PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING (14’11.228s)
  3. Azroy Hakeem Anuar – HONDA ESTREMO YUZY RACING (14’11.319s)
  4. Md Helmi Azman – MAEZTRO SCK HONDA RACING TEAM (14’11.401s)
  5. Md Iqbal Amri Abdul Malek – TKKR RACING TEAM (14’11.439s)