Pelumba pasukan YY Pang Racing Team menamatkan pertarungan CP115 musim 2019 di tangga ketiga keseluruhan. Dalam musim 2020, iaitu musim pertama kelas CP115 diganti oleh kategori CP125, Adib tetap antara pelumba terbaik kategori tersebut, menamatkan perjuangan musim 2020 ditangga kedua keseluruhan.
Setelah dua kali gelaran juara terlepas dari genggaman Adib, pelumba Ipone Yamaha YY Pang Racing Team itu berikrar bahawa musim 2021 yang baru bermula akan menjadi medan penebus kekecewaan musim-musim lalu.
Peluang terbaik untuk Adib mengatur langkah tiba di Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Litar Utara Sepang pada 3hb dan 4hb April baru-baru ini.
Setelah setahun berentap dalam kategori CP125, Adib akhirnya berjaya melayakkan diri ke petak pertama kelas tersebut dengan catatan masa 1’37.324s.
Pencapaian tersebut sedikit sebanyak menyuntik semangat baharu dalam persiapan Adib untuk menghadapi perlumbaan akhir di sebelah petang nanti.
Walaupun bermula dari petak pertama, Adib kelihatan tidak ingin terlalu menonjol di dalam lap-lap terawal perlumbaan sepanjang 8 lap itu.
“Terlalu ramai pelumba dalam kelompok utama. Strategi saya hanya ingin menjaga rentak perlumbaan agar konsisten dalam kelompok pertama sementara menunggu lap terakhir,” kata Adib.
Perancangan Adib berjaya apabila pelumba Yamaha tersebut mula berlumba secara lebih agresif dalam lap terakhir menyaingi Mohd Hafiza Rofa dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team, Ahmad Syukran Aizat dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, serta Mohd Firdaus Hamdan dari Moto1 Koyoko Honda KC Racing Team.
Perlumba pertama yang keluar dari selekoh terakhir adalah Ahmad Syukran Aizat, disusuli rapat Mohd Hafiza Rofa dan Mohd Firdaus Hamdan. Di selekoh terakhir, Adib masih berada di posisi ke-empat. Sementara perebutan garisan perlumbaan antara Syukran, Firdaus dan Hafiza menarik perhatian, Adib bijak menggunakan slipstream untuk meluru ke garisan penamat, 0.003 saat di hadapan Hafiza Rofa.
“Situasi masa itu amat gentir. Saya terpaksa menggunakan semua pengalaman 15 tahun sebagai pelumba professional untuk mencari kelebihan bagi diri saya,” kata Adib lagi.
“Sudah dua tahun saya menamatkan musim perlumbaan di podium keseluruhan tetapi bukan sebagai juara. Tahun ini, saya berikrar ingin menghadiahkan gelaran Juara CP125 kepada pasukan kami, pasukan Ipone Yamaha YY Pang Racing Team.