SYUKRAN CIPTA SEJARAH MODENAS DI SUPER POLE

Kejayaan membawa jentera Modenas ke sesi Super Pole bagi kelas elit CP150 pada Pusingan 7 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 merupakan satu detik bersejarah bukan sahaja buat Ahmad Syukran Aizat Mohd Yusoff, malah untuk keseluruhan skuad EASTEL TKKR RACING TEAM. Memulakan kempen musim ini tanpa sebarang data asas rujukan merupakan satu tugasan yang amat menguji kemampuan teknikal pasukan, namun pencapaian luar biasa pada Pusingan 7 membuktikan proses pembangunan jentera itu berada di landasan yang tepat.

Bagi Syukran, kejayaan merempuh kelompok 10 pelumba terpantas dengan catatan cemerlang 1’21.385s seakan-akan mengubat segala jerih perih pasukan sejak pusingan pembuka tirai.

“Sejujurnya, pada pusingan awal musim kami agak bergelut untuk mencari pelarasan terbaik jentera Modenas ini bagi menyaingi kelompok hadapan. Apabila berjaya melangkah ke Super Pole di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Selatan), perasaan gembira dan lega itu sukar digambarkan. Paling menyentuh hati adalah apabila melihat riak wajah bos dan semua kru yang berpuas hati dengan hasil titik peluh bersama. Segala penat lelah akhirnya berbaloi,” luah Syukran penuh emosi.

Menyentuh mengenai lonjakan prestasi tersebut, beliau menyifatkannya sebagai hasil gabungan kemajuan teknikal pasukan dan kelebihan pengalaman peribadi.

“Faktor utamanya sudah pasti berpunca daripada peningkatan positif jentera dari satu perlumbaan ke perlumbaan yang lain, berbanding ketika kami benar-benar ketiadaan data dahulu. Selain itu, pengalaman lampau beraksi di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang banyak memudahkan saya untuk pantas serasi, merakam catatan masa yang baik dan memecah masuk ke kelompok 10 terpantas.”

Sungguhpun mempamerkan kelajuan memukau pada satu pusingan, saingan ‘long run’ perlumbaan akhir terus menjadi medan ujian. Syukran menamatkan saingan di tempat ke-12 selepas berentap sengit dalam kelompok pertengahan.

“Untuk perlumbaan sebenar yang panjang, cabaran utama kami adalah untuk menyeimbangkan ketepatan pelarasan enjin dan keupayaan jentera. Kami masih dalam fasa mengumpul data rujukan. Walaupun menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12, tahap persaingan jentera Modenas dalam kelompok kini sudah tidak begitu jauh jurangnya berbanding perlumbaan-perlumbaan lalu. Memang ada sedikit kekurangan teknikal berbanding pesaing, tetapi prestasinya meningkat dengan sangat baik dan saya semakin serasi memacu jentera ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, dinamik pasukan kekal utuh walaupun rakan sepasukannya, Md Aliff Danial dan Md Harith Farhan, masih bergelut dengan jentera masing-masing. Syukran menegaskan komunikasi kekal menjadi kunci utama rentak TKKR.

“Kami bertiga bergerak sebagai sebuah keluarga. Setiap data dan pelarasan sentiasa dibincangkan untuk dijadikan rujukan teknikal terbaik buat semua. Komunikasi saya bersama kru teknikal juga sangat proaktif dan kami sentiasa berkongsi pendapat untuk mendapatkan pelarasan yang optimum.”

Menjelang pusingan terakhir nanti, pencapaian meraih mata berharga ini telah menyemarakkan lagi keazaman pelumba bernombor 46 ini.

“Ini kali kedua saya berjaya menyumbang mata untuk diri sendiri dan pasukan. Sasaran peribadi saya untuk baki musim ini adalah untuk mengutip mata semaksimum yang mungkin. Potensi jentera Modenas ini semakin berkembang dan pasukan tidak henti melakukan penambahbaikan secara spesifik. Untuk pusingan terakhir di Bandar Medini Iskandar nanti, saya sangat yakin jentera ini mampu memberi saingan yang lebih kompetitif.”