Musim 2026 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix tidak memberi ruang untuk selesa buat Md Izam Ikmal Izamli. Selepas menutup musim 2025 dengan gelaran juara keseluruhan CP125, kini pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING itu melangkah ke medan baru yang jauh lebih mencabar iaitu kategori CP150.
Menjelang Pusingan 2 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara), Izam kembali ke litar yang pernah menyaksikan detik kemenangannya musim lalu. Namun kali ini, dia bukan lagi pelumba dalam kategori sama, sebaliknya hadir sebagai pencabar baharu yang perlu membuktikan dirinya sekali lagi dari awal.
Bagi Izam, peralihan ke CP150 bukan sesuatu yang asing sepenuhnya kerana beliau pernah beraksi dalam kategori itu sebelum ini. Namun, tahap persaingan musim ini jauh lebih tinggi dengan kehadiran pelumba berpengalaman serta jentera yang lebih kompetitif.
“Bagi saya, peralihan ke CP150 tidak terlalu asing kerana saya pernah beraksi dalam kategori ini sebelum ini. Jadi dari segi asas, saya sudah mempunyai sedikit pengalaman. Cuma apa yang berbeza sekarang ialah tahap saingan yang jauh lebih sengit, lebih rapat, dan setiap pelumba sangat kompetitif. Jadi saya perlu lebih fokus, lebih konsisten dan pastikan setiap sesi latihan serta perlumbaan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memahami jentera dengan lebih baik,” katanya.
Walaupun ramai menjangka tekanan hadir sebagai juara bertahan CP125, Izam memilih untuk menukar tekanan itu menjadi motivasi tambahan. Dengan sasaran yang lebih besar, beliau enggan membiarkan jangkaan luar mengganggu fokusnya di atas litar.
“Saya tidak mahu terlalu tertekan dengan jangkaan orang luar atau status sebagai juara musim lalu. Bagi saya, itu bukan beban tetapi satu motivasi tambahan untuk membuktikan bahawa saya juga mampu bersaing dalam CP150. Apa yang penting adalah untuk kekal tenang, fokus pada kerja bersama pasukan, dan cuba dapatkan keputusan terbaik pada setiap pusingan,” jelasnya.
Perbezaan ketara antara CP125 dan CP150 turut menjadi cabaran utama, terutama dari segi karakter jentera dan gaya tunggangan. Peralihan kepada jentera Yamaha Y16ZR memerlukan penyesuaian semula dalam aspek kawalan, kelajuan serta ritma perlumbaan.
“CP150 sangat berbeza berbanding CP125. Dari segi jentera, kuasa, serta cara ia memberikan tindak balas ketika di litar, semuanya perlu saya menyesuaikan diri semula. Saya kini menggunakan Yamaha Y16ZR, jadi saya perlu belajar semula bagaimana untuk mengeluarkan potensi maksimum jentera ini, termasuk dari segi brek, selekoh dan juga kawalan kelajuan supaya lebih sesuai dengan gaya perlumbaan CP150,” katanya.
Selain itu, Izam turut mengakui cabaran dalam kategori ini bukan hanya pada saingan di litar, tetapi juga aspek regulasi serta perbezaan prestasi jentera antara pengeluar yang memerlukan penilaian lebih teliti dari pihak berkaitan.
Dari sudut pengalaman Pusingan 1, Izam mengakui masih banyak ruang untuk diperbaiki, khususnya dalam aspek gaya tunggangan yang perlu disesuaikan dengan karakter CP150 yang lebih agresif dan teknikal.
Menjelang kembali ke Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara) yang pernah menghadiahkannya kemenangan, Izam tidak menafikan bahawa kenangan itu masih memberi suntikan semangat tambahan.
“Saya masih ingat kemenangan di litar Sepang (Utara) musim lalu, dan ia memang memberi keyakinan tambahan kepada saya setiap kali kembali ke sini. Saya berharap momentum itu dapat diteruskan, walaupun dalam kategori yang berbeza dan dengan cabaran yang lebih besar. Sasaran saya tetap untuk memberikan saingan di kelompok hadapan, dan jika semua berjalan lancar bersama pasukan, saya akan cuba untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik daripada musim lalu,” katanya.

