Musim baru lazimnya membawa harapan baru. Namun buat Md Harith Farhan Baharin dan EASTEL TKKR RACING TEAM, pembukaan tirai Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 hadir bersama ujian yang jauh lebih besar daripada jangkaan.
Selepas bertahun-tahun menggunakan jentera Yamaha, musim ini menyaksikan EASTEL TKKR RACING TEAM membuat keputusan berani untuk beralih kepada jentera Modenas, satu langkah besar yang menuntut keberanian, kesabaran dan pengorbanan. Tanpa data asas dan pengalaman terdahulu, pasukan turun ke Pusingan 1 seolah-olah bermula dari kosong.
Cabaran itu jelas dirasai apabila ketiga-tiga pelumba pasukan gagal mencatat masa sepusingan minimum untuk melayakkan diri ke perlumbaan akhir. Buat Harith, kekecewaan itu sukar untuk disembunyikan.
“Sudah tentu saya agak kecewa kerana ini merupakan perlumbaan pembuka musim. Kami datang dengan sasaran yang agak tinggi, tetapi pada masa sama saya juga memahami situasi pasukan kerana semuanya masih baru, jentera baru, setup baru dan banyak perkara yang masih dalam proses penyesuaian,” katanya.
Namun, di sebalik keputusan mengecewakan itu, Harith memilih untuk melihat sisi pembelajaran. Bagi pelumba berpengalaman itu, pembangunan jentera Modenas masih berada di peringkat awal dan pasukan kini lebih memberi fokus kepada proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), bukannya terlalu terburu-buru mengejar keputusan segera.
Menurut Harith, prestasi asas jentera Modenas menunjukkan potensi positif, namun kekurangan alat ganti serta akses kepada kuasa penuh enjin menjadi kekangan utama yang perlu diperhalusi.
“Prestasi asas Modenas sebenarnya agak baik, terutama dari segi modifikasi. Cuma ketika ini kami masih belum dapat memaksimumkan potensi sebenar jentera kerana kekurangan beberapa komponen penting. Jika ada penambahbaikan dari segi alat ganti menjelang Pusingan 2, saya percaya kami mampu mula bersaing dengan kelompok hadapan,” jelasnya.
Menjelang Pusingan 2 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara), fokus utama pasukan kini tertumpu kepada pelarasan jentera.
“Saya tidak rasa terlalu sukar untuk menyesuaikan diri dengan jentera ini. Apa yang lebih penting sekarang ialah memahami karakter enjin dan mendapatkan pelarasan terbaik. Tambahan pula, rakan sepasukan saya juga berpengalaman dan banyak membantu dari segi maklum balas kepada pasukan,” katanya.
Apa yang lebih meyakinkan, semangat dalam pasukan masih kekal positif walaupun dihimpit keputusan pahit di Pusingan 1. Bagi Harith, pengalaman luas yang dimiliki kini digunakan sepenuhnya untuk membantu pasukan mempercepat proses pembangunan menerusi komunikasi yang jelas bersama kru teknikal.
“Dalam situasi seperti ini, komunikasi antara pelumba dan pasukan sangat penting. Sebagai pelumba berpengalaman, saya cuba membantu memberi maklum balas yang tepat supaya pembangunan jentera dapat dipercepatkan. Kerjasama semua pihak memainkan peranan besar dalam proses ini,” katanya.
Dalam dunia perlumbaan, jatuh dan bangkit adalah lumrah. Harith cukup memahami hakikat itu.
“Dalam sukan ini, ada masa kita berada di atas dan ada masa kita perlu berdepan cabaran. Apa yang penting ialah bagaimana kita menikmati perjalanan dan percaya kepada proses. Itu yang membantu saya terus kekal bermotivasi untuk bangkit semula,” katanya.

