Nasib tidak menyebelahi pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Md Farid Hakimi Farid Sezli, apabila beliau terpaksa menamatkan Pusingan 1 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 tanpa sebarang mata selepas terbabit dalam insiden terjatuh ketika berada dalam kelompok hadapan.
Farid memulakan perlumbaan dengan penuh keyakinan dan menunjukkan rentak yang sangat kompetitif sebelum insiden meragut peluangnya untuk menamatkan saingan di kedudukan lebih baik.
“Pada Pusingan 1 di awal perlumbaan, saya rasa sangat yakin untuk mengetuai perlumbaan,” kata Farid.
Namun segalanya berubah apabila kesilapan kecil di selekoh tiga membawa padah besar.
“Saya buat sedikit kesilapan di Turn 3, menyebabkan beberapa pelumba potong saya. Selepas itu, tayar belakang saya hilang kawalan dan saya berpusing sebelum terjatuh,” jelasnya.
Kejatuhan tersebut bukan sahaja menamatkan perlumbaannya lebih awal, malah meninggalkan kekecewaan besar kerana gagal membawa pulang sebarang mata pada pusingan pembukaan musim ini.
“Saya memang sangat kecewa kerana tidak dapat membawa pulang sebarang mata. Kita hanya ada lapan pusingan tahun ini, jadi setiap mata sangat penting. Tapi dengan sokongan pasukan, keluarga dan rakan-rakan, saya cuba kekal positif dan anggap kali ini masih belum rezeki saya,” katanya.
Lebih menyakitkan, insiden itu turut meninggalkan rasa kesal dalam dirinya.
“Perkara pertama yang saya fikirkan ialah saya tak sangka dan rasa sangat geram dengan diri sendiri. Saya juga menggunakan tayar baru dalam keadaan hujan, dan itu juga antara faktor yang menyebabkan saya jatuh,” tambahnya.
Walaupun begitu, Farid tidak mengambil keputusan ini sebagai titik akhir, sebaliknya sebagai pengajaran berharga untuk bangkit lebih kuat.
“Ini adalah pengalaman dan pengajaran besar yang membuatkan saya lebih matang dalam perlumbaan selepas ini,” katanya.
Menjelang Pusingan 2 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara), Farid kini mengalihkan fokus sepenuhnya untuk menebus kekecewaan di hadapan penyokong sendiri.
“Ini adalah perlumbaan di laman sendiri. Sudah tentu saya mahu bangkit semula dan sasarkan kedudukan podium,” tegasnya.
Mengulas cabaran di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, Farid tidak gentar dengan saingan kelompok besar yang sentiasa tidak menentu.
Kelompok perlumbaan di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang memang besar dan semua pelumba ada peluang menang. Tapi itu tidak buat saya gentar. Fokus saya tetap untuk cuba menang di Sepang kerana saya belum pernah menang di sana,” katanya.

