Pusingan empat Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan berlangsung di Stadium Mini Teluk Intan pada hujung minggu ini. Farres Putra dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing akan meneruskan persaingan dengan pesaing terdekat dalam misi mendominasi kategori Wira KBS.
Setelah bergelut di dua pusingan pertama, Farres akhirnya berjaya mengalahkan pesaing-pesaing lain untuk meyambut kemenangan pertama bagi musim ini di pusingan ketiga yang telah berlangsung di litar LYL International Karting Circuit. Di perlumbaan tersebut, Farres telah memberikan saingan yang hebat kepada pesaingnya, Akif Abdullah dari pasukan Zynergys Honda KC Racing dan telah memaparkan kemahiran yang mantap dalam mempertahankan kedudukannya di P1.
Persaingan di antara Farres dan Akif dijangka akan berterusan sepanjang musim ini lebih-lebih lagi dengan misi mendominasi Akif pada musim ini dan misi Farres untuk mempertahankan kejuaraannya di kategori ini. Akif kini mendahului Farres dengan perbezaan sebanyak 4 mata dan menduduki tempat pertama secara keseluruhan. Namun begitu, ini hanyalah permulaan bagi kedua-dua pelumba yang saling mencabar sesama sendiri dan ia hanya sekadar masa sebelum Farres membuka langkah dengan aksinya untuk mencabar Akif.
Menurut Farres, “Perlumbaan di litar LYL memang sukar terutamanya kerana keadaan litar dan juga persaingan rapat. Jadi saya agak banyak bergantung kepada komunikasi dengan pasukan dan juga daripada latihan-latihan yang telah saya lalui. Minda yang tenang juga agak penting untuk kekalkan fokus. Litar Teluk Intan pula terkenal sebagai litar yang sempit dan teknikal. Oleh itu, cabarannya lebih kepada garisan perlumbaan. Buat masa ini, pasukan dan saya akan cuba buat persiapan sebaik mungkin dari segi “setup” jentera. Jentera kami setakat ini memang sudah bertambah baik dari segi kestabilan. Saya percaya dengan usaha keras pasukan saya, kami akan berjaya mencari “setup” yang terbaik namun begitu, saya juga perlu tingkatkan lagi prestasi supaya lebih konsisten dan lebih fokus ketika berlumba.”
“Bagi saya, Akif adalah seorang pelumba yang sangat konsisten dan bijak membaca situasi semasa berlumba. Dia juga sangat kuat dari segi mental. Banyak yang saya boleh belajar daripada cara dia berlumba. Saya memang kagum dengan cara Akif berlumba dan dengan persaingan positif yang diberikan. Saya masih mempunyai banyak ruang untuk memperbaiki diri jadi saya akan terus berusaha untuk tingkatkan tahap kemahiran saya. Selain daripada mempertahankan kejuaraan, saya juga ingin terus belajar dan memperbaiki kelemahan saya. Yang penting, saya ingin menimba ilmu dan pengalaman agar saya menjadi lebih matang sebagai seorang pelumba yang berjaya.”

