SYAZRAS: MISI MENCARI RENTAK DI LITAR BARU

Pelumba pasukan HONDA ESTREMO YUZY RACING, Shahrol Syazras Shahrol Yuzy, kini bersiap sedia menghadapi cabaran baharu menjelang Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix 2025 yang akan berlangsung hujung minggu ini di LYL International Karting Circuit, Monkeys Canopy.

Litar ini merupakan satu-satunya litar baharu dalam kalendar musim ini dan dijangka menjadi ujian besar buat semua pelumba. Dengan 18 selekoh yang mencabar, Litar LYL bakal menguji bukan sahaja kemahiran teknikal, malah ketahanan fizikal dan mental setiap pelumba.

Syazras turut berkongsi pandangannya mengenai litar tersebut selepas meneliti susun atur trek. “Bagi saya, trek ini sangat teknikal. Dengan 18 selekoh, ia akan menjadi satu ujian besar dari segi mental dan fizikal bagi setiap pelumba,” katanya.

Ketika majlis pelancaran musim 2025 pada April, beberapa pelumba berpeluang menyertai sesi ujian tunggangan di LYL International Karting Circuit. Namun, Syazras terlepas peluang itu kerana berdepan masalah teknikal pada jentera.

“Ya, masa itu saya tidak dapat meneruskan test ride kerana masalah teknikal. Tapi saya tetap membuat kajian mendalam tentang litar ini. Saya juga sempat mencuba gokart di trek yang sama. Walaupun berbeza dengan motosikal, ia membantu saya untuk mengenal selekoh dan susun atur litar secara asas,” katanya.

Bagi menghadapi sesi latihan dan perlumbaan yang padat, Syazras merancang untuk menyesuaikan diri dengan litar dalam masa yang singkat. “Kami tidak mempunyai banyak masa untuk memahami trek. Selepas sesi latihan bebas (FP1), kami akan terus ke sesi kelayakan. Jadi saya perlu cepat menyesuaikan diri dan memahami litar sebaik mungkin dalam masa yang terhad,” ujarnya.

Menurut Syazras, antara cabaran utama yang perlu dihadapi di Litar LYL adalah jumlah selekoh yang tinggi serta pengurusan tayar yang lebih mencabar berbanding litar-litar lain. “Litar ini mempunyai 18 selekoh, jadi daya tahan fizikal dan mental memang sangat penting. Selain itu, berdasarkan ujian yang telah dilakukan sebelum ini, penggunaan tayar juga menjadi faktor utama kerana kehausan tayar akan memberi kesan besar dalam perlumbaan,” tambahnya.

Syazras turut menjangkakan rakan sepasukannya, Azroy Hakeem Anuar, akan menjadi antara pelumba yang paling cepat menyesuaikan diri di Litar LYL. “Saya rasa Azroy mungkin antara yang paling cepat adaptasi sebab dia sempat membuat ujian di litar ini sebelum ini. Jadi kami sudah ada sedikit input dan data awal yang boleh digunakan untuk menambah baik prestasi kami dalam perlumbaan nanti,” katanya.