fbpx

YAMAHA ONE MAKE JADI MEDAN BURU PELUMBA WIRA KBS – 31 RACING


Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing yang bukan asing dalam arena sukan PETRONAS MAM Malaysian Cub prix dan terkenal untuk kesengatannya sejak mula menyertai saingan dua roda itu pada 2019, kini kembali dengan semangat baharu menjelang musim 2024.

31 Racing telah membina reputasi sebagai pasukan gergasi kategori Wira KBS dalam masa tiga tahun. Kemudian mereka yang melebarkan sayap ke kategori CP125, juga membuktikan kedudukan mereka sukar digugat.

Mereka yang melakukan debut pada musim 2019 berjaya merangkul gelaran Juara Wira KBS sulungnya menerusi pelumba muda Mohd Aliff Danial Mohd Asri, dan kemudian mereka mempertahankan gelaran tersebut melalui Rahimi Nabil Razu dan Muhammad Aqil Danial masing-masing bagi musim 2020 dan 2021.

Musim 2022 boleh dikatakan musim yang paling gemilang buat pasukan yang dikendali bekas Juara Cub Prix 2004, K. Sivanesan, apabila berjaya ‘tapau’ tiga kedudukan teratas carta saingan WIRA KBS. Namun musim lepas menyaksikan mereka tidak dapat mempertahankan kejuaraannya dengan kehadiran beberapa pasukan baharu dan tahap kompetitif yang semakin meningkat.

Bagaimanapun ia sedikit pun tidak mengurangkan semangat mereka untuk kembali dengan semangat yang baharu bagi membuka lembaran dengan membariskan beberapa muka baharu bagi saingan kali ini.

Mengulas mengenai pemilihan barisan pelumba kali ini, Sivanesan menyatakan Yamaha One Make Super Series menjadi platform untuk memilih calon bagi merangkul semula “Overall Champion Wira 2024”.

“Kali ini saya membuat pilihan dari kategori Yamaha One Make sebab di sana kita nampak banyak talent dan anak muda yang berusia 14 tahun di mana seperti sedia maklum faktor umur juga memainkan peranan dalam sukan permotoran ini. Apabila sudah adanya platform ia agak memudahkan pemilihan pelumba untuk mereka pergi ke tahap yang lebih tinggi.

“Bagi musim ini dengan keadaan jentera yang amat memuaskan di samping latihan kecerdasan dan latihan litar pada pelumba-pelumba saya, saya berharap tahun ini dapat membuahkan hasil podium pada setiap musim sekali gus dapat merangkul kembali gelaran yang kami terlepas pada musim lalu.”

Pada masa yang sama, Sivanesan turut mengakui bahawa ia bukan perkara mudah untuk membentuk pelumba dari aspek profesional serta meningkatkan keserasian dalam pasukan dalam sukan permototaran. Katanya, ia mempunyai cabaran tersendiri.

“Cabaran utama dimana saya harus mendapatkan keserasian di antara pelumba dan jentera mereka itu sendiri. Setiap pelumba harus mencari kemahiran serta pengalaman yang terbaik bagi mengendalikan jentera semasa perlumbaan berlangsung. Pada masa yang sama, peranan ibu bapa juga penting dalam pembentukan pelumba pelumba saya, di mana sokongan serta persefahaman di antara pasukan dan ibu bapa dapat membantu pelumba saya memberikan fokus sepenuhnya yang dapat membuahkan hasil yang terbaik kepada diri mereka serta pasukan.”

Sementara dua pelumba, Md Fareeq Md Faizal dan Shakibdani Que Amsyar Md Khairulnizam yang bakal mengharungi cabaran baharu di peringkat yang lebih berbanding sebelum ini, cukupteruja menimba pengalaman pada musim 2024 ini.

Kata Fareeq, “Bagi musim ini (2024), adalah musim yang bagi saya adalah sangat mencabar dan saya perlu banyak belajar kerana dari segi mesin jentera dan rider yang kita tahu semuanya laju-laju. Saya juga kena bersaing dengan rider-rider yang berpengalamanya lebih banyak daripada saya. Jadi disitulah akan memberikan terlalu banyak cabaran yang kena saya hadapi dan di situ juga proses pembelajaran yang saya akan belajar dan terus belajar.

“Sasaran saya pada pusingan yang pertama ini adalah untuk berada di kelompok hadapan semasa berlumba dan jika saya berjaya mendapatkan podium pada pusingan ini ianya adalah satu rezeki yang sangat bernilai bagi saya dan juga team saya. Bagi musim ini pula saya akan berusaha sehabis mampu untuk berada di kedudukan kesuluruhan teratas dan saya juga berharap supaya saya dapat memberi kerjasama yang baik kepada team saya sepanjang musim ini.

“Saya doakan perjalanan impian saya untuk berada di Kejuaraan Dunia satu hari nanti bermula di sini.”

Komen dengan lebih ringkas, Shakibdani Que atau lebih dikenali Que, “Bagi tahun 2024 ini, saya pertama kali naik ke Kelas Wira KBS. Saya akan belajar dan usaha dgn sebaik mungkin dan harapannya sudah tentu untuk memberi saingan terbaik. Sasaran saya musim ini hendak mengakhiri setiap perlumbaan dengan selamat dan mengumpul mata semaksimum mungkin.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook