fbpx

IZZAT MENDAPAT KELEBIHAN UNTUK SESI SUPER POLE


Bagi pusingan Kesembilan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang telah berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) petang tadi, Md Izzat Zaidi Md Salehan dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing telah mencatatkan masa terpantas di sesi kelayakan bagi kategori CP150.
 
Sesi kelayakan yang telah berlangsung selama 15 minit telah memberikan peluang kepada Izzat dan pelumba-pelumba lain untuk menghasilkan masa terbaik dan dalam pada itu, Izzat berjaya mendapatkan masa terpantas 1’14:466s dalam sembilan lap.
 
Di sesi latihan bebas 1 pagi tadi, Izzat telah mencatatkan masa terpantasnya pada 1’16:508s dan pada sesi keduanya, Izzat mencatatkan masa terpantas beliau pada 1’15:224s. Pada sesi kelayakan petang tadi, setelah mendapatkan penyelarasan yang lebih baik bagi jenteranya, beliau telah mempertingkatkan usaha untuk mendapatkan kelebihan di sesi “Super Pole” yang akan berlangsung keesokan hari.
 
Bagi pelumba yang kerap melakukan masa terpantas di litar ini, Izzat berkata, “Saya berterima kasih kepada pasukan saya terhadap “setup” jentera dan penyelarasan yang baik. Bagi saya, angin pun bagus dan saya bersyukur kerana berjaya mendapatkan masa terbaik.”
 
Izzat yang akan berjuang untuk pingat kejuaraan bersama Afif dan Nazirul berkata, “Bagi saya, kita hanya merancang dan Tuhan menentukan segalanya. Saya akan terus berikan tumpuan kepada mata keseluruhan kejuaraan dan akan buat yang terbaik pada perlumbaan-perlumbaan yang akan datang nanti.”
 
Di tempat kedua terpantas adalah Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team dengan catatan masa terpantasnya pada 1’14:476s.
 
Nazirul Izzat Md Bahauddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor mencatatkan masa ketiga terpantas pada 1’14:693s.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , , ,