fbpx

DARI QATAR KE MALAYSIA UNTUK MENIMBA ILMU SUKAN JENTERA DUA RODA – SAIDATUL ZAKIRAH


Menjejaki litar selaku penonton seawal usia 5 tahun, siapa sangka akan jatuh cinta dengan deruman jentera dua roda semakin melangkau usia?

Jom kenali pelumba muda wanita berusia 15 tahun yang kini mengorak langkah di kelas WIRA KBS dalam sukan permotoran berprestij negara, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix, iaitu Saidatul Zakirah Zairin.

Zakirah yang lebih mesra dipanggil Kirah dilahirkan di Brunei pada tahun 2007 dan dibesarkan di Qatar semenjak usia 5 tahun. Kirah mula berminat dengan sukan permotoran sejak usia 11 tahun. Bermula hanya sekadar mengikuti ayahnya ke saingan permotoran antarabangsa seperti MotoGP, World SuperBike Championship (WSBK) dan juga Asia Road Racing Championship (ARRC), ia menawan hati gadis berwajah manis itu untuk meceburi bidang tersebut.

“Ayah Kirah memang minat dalam sukan permotoran. Jadi minat kirah mula di situ bila saya berumur 5 atau 6 tahun macam itu. Ayah selalu bawa kami sekeluarga pergi tengok perlumbaan motor seperti MotoGP, WSBK dan dulu pernah ada ARRC di Litar Losail.

“Bila saya tengok pelumba-pelumba mendominasi litar, mereka ‘overtake’, ‘spirit’ buat Kirah teruja dan di situ minat kirah sebab saya terinspirasi dengan gaya perlumbaan mereka. Bila saya berumur 11 tahun saya mintak ayah memasukkan saya di Qatar Motorsports Academy. Pada masa itu jugalah saya betul-betul mula berlumba atas motor iaitu pada tahun 2018,” jelas Kirah.

Menurut gadis kecil molek yang kini menetap di Ipoh, Perak, dia sememangnya menggemari aktiviti sukan lasak.

“Ayah adalah pendorong utama saya kerana saya selalu akan ikut ayah setiap kali beliau melibatkan dirinya dalam sukan lasak. Apabila saya beritahu ayah saya bahawa ingin menceburi sukan permotoran beliau tidak membantah. Bahkan ibu juga tiada menyatakan halangan. Walhal mereka sentiasa memberi dorongan dan semangat kepada Kirah.”

Katanya “Bagaimanapun ketika berada di Qatar saya tidak dapat menimba ilmu yang secukupnya untuk pergi lebih jauh kerana ia lebih kepada teori dan kami akan berlumba hanya di dalam akademi. Namun begitu, saya tetap dapat belajar banyak perkara berkaitan dunia permotoran. Faktor lagi satu adalah cuaca. Cuaca di Qatar enam bulan panas dan enam selebihnya sejuk. Ketika musim panas, ia memang terlalu panas dan saya tidak dapat berlumba atau berlatih.

“Jadi selepas berbincang dengan ibu dan ayah saya membuat keputusan untuk berpindah ke Malaysia pada tahun 2021 untuk mendapatkan pengalaman dan ilmu yang sewajar untuk meningkatkan prestasi saya. Saya terpaksa  berpindah seorang diri sebab kedua ibu bapa masih bekerja di sana.”

Bah kata pepatah, kecil-kecil cili padi, Kirah memang boleh disifatkan sebagai seorang atlet yang serba boleh!

Rupa-rupanya Kirah juga merupakan pemain bola sepak yang pernah mewakili sekolahnya ketika di Qatar. Selain itu, gadis kelahiran Brunei ini turut meminati bidang lakonan apabila pernah ke Amerika Syarikat untuk menyertai ujibakat. Di samping itu, Kirah juga mengikuti kelas Violin dan menpunyai hasrat untuk menjadi pemain violin professional suatu hari nanti.

Selepas berpindah ke Malaysia, kini Kirah menyambung pelajarannya di Sekolah Antarabangsa Ipoh selepas mengakhiri pengajian secara maya di sekolah asalnya di Qatar. Dalam kesibukan mempersiapkan diri ke saingan-saingan seterus, Kirah meninggalkan tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar.

Ia bukan mudah untuk menyerlah dalam arena sukan permotoran yang selalunya didominasi kaum hawa. Namun ia tidak kurangkan semangatnya dan juga penampilan berhijab juga tidak menjadi halangan dalam menceburi bidang ini.

“Alhamdulilah selepas pindah ke Malaysia Kirah dapat banyak pengalaman dan ilmu tapi kirah kena banyak mengasah lagi kemahiran mengendali jentera di atas litar dan sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan. Terutamanya di Cub Prix. Kirah tiada pengalaman membawa motor ‘Kap-chai’ sebelum menyertai MCP. Saya hanya biasa dengan motor bertangki.

“Selepas menyertai MCP Kirah belajar banyak benda dengan motor kapcai dalam masa dua tahun ini tetapi kirah perlukan lebih mileage dan latihan atas motor kapcai. Memang terlalu banyak cabaran saya telah hadapi dalam arena sukan permotoran tetapi saya semakin kuat setiap kali saya buat kesilapan dan Kirah sentiasa belajar dari kesilapan.

Selepas enam pusingan berlalu, dengan baki lagi 4 pusingan dalam Kejuaraan Malaysian Cub Prix, Kirah kini berada di kedudukan ke-27 kelas WIRA KBS. Walaupun permulaannya agak kurang memuaskan, sikap Kirah pantang mengalah membolehkan dia meneruskan saingannya.

“Walaupun musim hampir dah nak tamat, saya masih lagi berusaha untuk meningkatkan prestasi saya. Pada masa yang sama Kirah juga akan cuba sebaik mungkin untuk mengutip mata dan mengukuhkan lagi kedudukan.

“Malangya saya tidak akan menyertai pusingan ke-7 Malaysian Cub Prix minggu ini disebabkan Kirah nak fokus terhadap persiapan Malaysian Superbike Championship (MSBK) dalam kategori 250cc. Saya amat menunggu peluang untuk beraksi dalam MSBK sebab saya lebih konfiden dan selesa dengan jentera dua roda yang bertangki.

“Pusingan pertama saya berjaya menamatkan saingan di P3 dan saya akan buat persiapan yang lebih rapi untuk pusingan seterusnya awal September ini. Bagi MCP pula saya akan kembali untuk saingan pusingan ke-8 nanti,” jelas pelumba wanita muda yang memiliki impian tinggi untuk menyerlah dalam arena sukan permotoran.

Kirah juga bangga dengan pencapaiannya setakat ini yang mampu memberi saingan kepada pelumba-pelumba professional yang lain.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook