fbpx

SIAPAKAH YANG BAKAL MENJADI JUARA WIRA KBS?


Pusingan kesepuluh Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan berlangsung di Stadium Batu Kawan pada hujung minggu. Acara penutup tirai ini akan menyaksikan dua pelumba, Md Farish Iqmal dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing dan Amirun Haziq dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing bertarung untuk rebutan takhta juara keseluruhan musim 2023 bagi kategori Wira KBS.

Amirun telah memulakan musim ini dengan nada yang positif apabila beliau meraih kemenangan pertamanya di pusingan pertama. Sejak itu, beliau telah mengekalkan kedudukannya di tangga pertama secara keseluruhan untuk lapan pusingan dengan lima pencapaian di atas podium. Pada pusingan kesembilan, Farish Iqmal yang telah mengejar Amirun selama lapan pusingan berjaya memintasnya secara keseluruhan apabila beliau menamatkan perlumbaan tersebut di kedudukan kedua yang sekaligus memberikannya kelebihan sebanyak 9 mata.

Pada musim lepas, Amirun telah menamatkan kejuaraan ini di tangga keenam secara keseluruhan manakala Farish berjaya di tangga keempat. Kedua-dua pelumba ini jelas ternyata, kembali dengan azam baharu pada musim ini dan pencapaian yang dikecapi selama ini telah membuktikan usaha dan kegigihan mereka. Walaupun Farish mempunyai kelebihan di litar Batu Kawan, lebih-lebih lagi dengan pencapaiannya di tangga kedua pada musim lepas, Amirun tidak kurang hebat dan telah membuktikan kebolehannya untuk memberikan saingan yang hebat sepanjang musim ini. Farish telah berjaya mengumpul sebanyak 150 mata manakala Amirun memegang sebanyak 141 mata. Pusingan seterusnya bakal menjadi penentu bagi takhta kejuaraan.

Menurut Farish, “Saya rasa litar Batu Kawan ini agak mencabar bagi saya sebab litar ini mempunyai sektor-sektor yang agak sempit dan kecil. Ada juga sektor-sektor yang licin dan di situ, bagi saya agak susah. Tetapi saya akan cuba juga untuk mengatasi cabaran tersebut. Apa yang penting adalah untuk kekal tenang dan untuk memastikan yang saya tidak gopoh di kawasan tersebut. Dari segi jentera, ia adalah suatu jentera baru bagi musim ini maka saya tidak dapat memberikan ulasan mengenai kelebihannya di litar ini. Ini adalah kali pertama saya akan membawa jentera ini di litar tersebut. Tetapi sudah pasti saya akan mencari setup yang terbaik untuk perlumbaan nanti. Pada musim lepas, saya tidak begitu merasai debaran kerana saya tidak bersaing untuk juara keseluruhan. Musim ini agak berbeza kerana saya dapat merasai debaran tersebut dan perbezaan mata di antara saya dan Amirun tidak banyak. Persiapan adalah seperti biasa. Saya akan kuatkan diri saya dari segi fizikal dan mental. Saya akan berikan yang terbaik. Musim depan, saya akan naik ke kategori CP125. Di situ, saya akan cuba memahami dan mempelajari secepat mungkin untuk bersaing dengan lebih kompetitif.

Menurut Amirun, “Bagi saya, cabaran untuk pusingan yang akan datang adalah untuk mengatasi saingan daripada pelumba-pelumba lain. Saya ingin memenangi kejuaraan ini. Oleh itu, saya memang tidak mampu lakukan sebarang kesilapan buat masa ini. Memang tidak dapat dinafikan, jentera Honda mempunyai kelebihan dan semakin bagus, bertambah lagi dengan pelumba-pelumba Honda KC yang semakin mantap. Namun begitu, saya tidak akan mengalah dan akan cuba sedaya upaya untuk mengatasi cabaran tersebut. Harapan saya adalah untuk meraih gelaran juara di kategori Wira. Persediaan saya untuk pusingan yang akan datang adalah seperti biasa. Saya lebihkan latihan fizikal dan berharap dapat mempelajari selok-belok litar dengan cepat supaya dapat memaksimalkan prestasi saya di situ. Musim seterusnya, saya akan teruskan usaha untuk memperbaiki kekurangan saya dan akan cuba untuk bertanding dengan lebih kompetitif.”

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook

, , ,