fbpx

MENGIMBANGI PRESTASI DI DUA PLATFORM, MCP DAN ARRC – SHAFIQ RASOL MENYERLAH


Tahap kompetitif sukan permotoran yang digelar sukan ekstrem, tidak boleh dinafikan ia agak tinggi dan nak kata bahaya pun ada. Selalunya minat yang mendalam dan cinta akan sukan ini membuatkan pelumba mengambil risiko untuk menceburi sukan ini.

Bagaimanapun jika menjejaki dunia permotoran dengan ilmu yang sewajarnya, ia memastikan keselamatan pelumba. Tahap kompetitif juga berbeza mengikut peringkat saingan tersebut sama ada kebangsaan, Asia mahupun Antarabangsa. Perlu kita akur, setiap pelumba yang melangkah ke dunia permotoran ini, misi utamanya hanya satu, melebarkan sayap ke peringkat lebih tinggi terutamanya ke peringkat antarabngsa.

Begitu juga bagi pelumba negara, Mohd Shafiq Rasol, yang beraksi dalam dua platform berbeza iaitu di peringkat kebangsaan dan juga Asia. Sedikit pun tidak tersasar dari fokusnya, Shafiq mampu mengimbangi prestasinya di kedua-dua saingan tersebut.

Soalan : Apakah rahsianya, Shafiq?

Shafiq : “Nak kata rahsia, tidaklah rahsia.. ha ha ha.. tetapi kedua-dua perlumbaan itu boleh membantu saya untuk mengekalkan momentum dan lebih konsisten. Penat itu memang ada sebab perlumbaan bukan hanya mengambil kira soal berlumba, tetapi masa untuk mempersiapkan diri, jika kita melihat ARRC kami juga perlu travel kan..

“Travel dari dalam negara pun boleh ada rasa penat apatah lagi kita ke negara jiran. Tetapi penat itu bukan satu alas an. Saya melihat ia sebagai kekuatan diri saya.

Soalan : Bagi Shafiq, apa perbezaan ada pada dua saingan ini?

Shafiq : “MCP dan ARRC, dua-dua adalah platform yang bagus bagi saya.. Kedua-duanya platform terbaik untuk mencungkil bakat muda. Cuma perbezaannya tahap kompetitif di mana dengan penglibatan pelumba luar negara dan juga struktur litar yang lebih profesional di ARRC. Boleh dikatakan litar bertaraf dunia dan di sana boleh belajar pelbagai teknik dan strategi.

Bukan nak kata MCP kurang baik. Di sinilah, mulanya perjalanan ramai pelumba yang kini sedang beraksi di persada dunia. MCP membuka jalan dan memberi pengajaran yang sewajarnya untuk ‘build’ seorang pelumba yang mampu bersaing di tahap yang lebih tinggi.

Soalan : Apa kelebihan dan kelemahan yang Syafiq nampak dalam kedua-dua platform ini?

Shafiq : “Saya tidak nampak apa-apa kelemahan di platform ini malah dua-dua perlumbaan ini adalah medan untuk kami memperbaiki kelemahan yang kami miliki. Kelebihan banyak, pelbagai perubahan telah saya harungi selepas menjadi seorang pelumba profesional denga napa yang saya belajar menerusi MCP dan ARRC. Bukan sahaja di atas litar tetapi juga di luar litar.

Soalan : Bagaimana Shafiq mengimbangi kerjaya sebagai pelumba profesional di dua peringkat berbeza?

Shafiq : “Agak sukar juga beraksi di dua peringkat berbeza. MCP perlumbaan hanya 2 hari tetapi di ARRC selama 3 hari. Jadi ia mengerah tenaga yang lebih berbanding MCP. Sebagai pelumba saya kena lebih bersedia dari aspek fizikal mental sebab ada kemungkinan perlumbaan selang seminggu. Selalunya saya akan push dari fitness dan kami akan ada sesi latihan sebelum minggu perlumbaan.

“Pada masa yang sama, bila ada back to back race ini, dia agak membantu sebab saya on form, tak kehilangan rentak. Saya pun dah agak biasa dengan rutin ini. Sudah 14 tahun di dunia permotoran, jadi ini pun salah satu aspek saya belajar di sini” Pelumba ONEXOX TKKR RACING TEAM itu memulakan saingan ARRC dengan langkah kanan apabila membuka tirainya dengan kemenangan pada perlumbaan pertama. Namun pada saingan MCP, Shafiq yang dinaikkan pangkat ke kategori CP150 selepas menjuarai kategori CP125 musim lalu, kelihatan agak bergelut untuk mendapatkan rentaknya. Tetapi masih mengekalkan kedudukan 5 teratas selepas tiga pusingan, Shafiq percaya ia tidak mustahil untuk mengejar mata.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook