Pelumba Honda Yuzy Idemitsu Team, Azroy Hakeem Anuar, telah meneruskan rekod cemerlang peribadi di litar kegemarannya, Litar Permotoran Terengganu, apabila berjaya memenangi perlumbaan Pusingan 5 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang dianjurkan di litar 1.371km itu minggu ini.
“Saya amat berpuas hati dengan persembahan kami minggu ini,” jelas Azroy yang berjaya memecah rekod lap terpantas sebanyak tiga kali dalam tempoh sehari. Kali pertama dilakukan pada sesi Warm-Up, seterusnya pada sesi Shoot-Out dan akhir sekali, Azroy mencatat rekod lap terpantas di Litar Permotoran Terengganu dengan masa 48.936s.
Permulaan perlumbaan kategori perdana dikuasai oleh pelumba lahiran Terengganu, Ahmad Afif Amran. Afif, dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, mendahului perlumbaan selama 16 lap. Namun demikian, Afif tidak berjaya menjarakkan diri dari asakan Azroy.
Azroy yang menggunakan jentera Honda berjaya memintas pada lap ke-17. Pertempuran antara Azroy dan Afif berlarutan sehingga ke lap terakhir. Malang sekali, insiden kemalangan pada lap terakhir memaksa bendera merah dikibarkan.
Oleh itu, keputusan Pusingan 5 CP150 diambil dari lap ke-16 dan Azroy diisytiharkan sebagai pemenang dengan catatan masa 14’04.644s, diikuti Ahmad Afif Amran di tempat kedua dan Mohd Akid Aziz di tempat ketiga.
Azroy turut mengalami kecederaan ringan dalam insiden tersebut. Walaubagaimanapun, pelumba Honda itu tegas menyatakan bahawa dia akan meneruskan perlumbaan Pusingan 6.
“Litar Permotoran Terengganu ini sememangnya litar kegemaran saya. Persiapan pasukan kami serta prestasi motosikal kami begitu meyakinkan. Dalam perlumbaan tadi, walaupun menerima tentangan hebat dari Afif, saya masih yakin dengan kebolehan kami untuk meraih kemenangan kedua musim ini.”
“Kemalangan yang berlaku di lap terakhir sememangnya di luar jangkaan. Saya mengalami kecederaan ringan pada kaki kanan, tetapi masih konfiden akan beraksi esok untuk Pusingan 6.”
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook

