Pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang semakin gagah mengharungi cabaran ketika saingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas musim 2019 semakin hampir untuk melabuhkan tirainya.
Kesungguhan barisan pelumbanya untuk berada dalam kelompok lima teratas begitu terserlah dalam beberapa pusingan lalu termasuk pada saingan Pusingan 7 yang membuka tirainya di Litar Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra Kangar, Perlis hari ini.
Buktinya sangat jelas apabila Md Azhar Abd Jalil mencatat nama selaku pelumba terpantas pada sesi kelayakan kelas CP150 di litar sejauh 0.949 kilometer (km) itu dengan masa 40.759 saat (s).
Walaupun catatan yang dilakukan oleh pelumba asal Selangor itu direkodkan sebagai masa terpantas sepusingan pada sesi kelayakan di litar tersebut musim ini, namun masih gagal untuk mengatasi rekod lama (40.442s) yang dilakukan oleh Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) musim lalu.
Begitupun, ia tetap memberi kepuasan kepada Azhar yang bakal memulakan perlumbaan sebenar dalam kelompok hadapan esok.
Setakat ini, Azhar pernah muncul juara CP150 pada aksi Pusingan 4 di Teluk Intan sebelum ini selain menduduki tempat ketiga pada kempen Pusingan 6 di Teluk Intan dua minggu lalu.
Misinya kali ini adalah untuk menawan Kangar bagi mengulangi kecemerlangannya di Pontian sebelum ini.
Tempat kedua terpantas sesi kelayakan tersebut diraih Md Haziq Md Fairues (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan masa 40.846s manakala Nazirul Izzat Md Bahauddin (ONEXOX TKKR SAG Team) yang melakukan catatan masa 40.902s menduduki tempat ketiga.
Sementara itu, sesi kelayakan kelas CP115 Kumpulan A diungguli pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Syafiq Rosli dengan catatan masa 42.936s manakala kelayakan Kumpulan B pula dikuasai Md Fareez Afeez Abd Rahman (Motul Yamaha YY Pang Racing) dengan masa 43.248s sepusingan.
Berdasarkan catatan masa yang dilakukan oleh Syafiq pada sesi kelayakan hari ini, dia bakal tampil sebagai pelumba pilihan, namun pelumba asal Perak itu perlu mengekalkan rentak konsisten jika mahu menamatkan perlumbaan esok dengan penyudah podium.
INFO
Keputusan sesi kelayakan
CP150
1. Md Azhar Abd Jalil (SEL) Motul Yamaha YY Pang Racing 40.759s
2. Md Haziq Md Fairues (SEL) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 40.846s
3. Nazirul Izzat Md Bahauddin (MEL) ONEXOX TKKR SAG Team – 40.902s
4. Md Shafiq Ezzariq Saiful Nizam (SEL) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 40.923s
5. Md Akid Aziz (KUL) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 40.969s
CP115 (Kumpulan A)
1. Md Syafiq Rosli (PRK) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 42.936s
2. Shahrol Syazras Shahrol Yuzy (SEL) Idemitsu Honda Yuzy Racing – 43.187s
3. Md Khairi Asyraf Mahmood (JOH) Motul Yamaha YY Pang Racing – 43.353s
4. Md Faiz Zekri Sabri (PNG) ONEXOX SAG Team – 43.421s
5. Abdullah Qayyum A Razak (SEL) Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 43.663s
CP115 (Kumpulan B)
1. Md Fareez Afeez Abd Rahman (JOH) Motul Yamaha YY Pang Racing – 43.428s
2. Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (TRG) Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 43.401s
3. Md Aiman Azman (KUL) Idemitsu Honda Yuzy Racing – 43.624s
4. Md Syafieq Aiman Md Fauzi (JOH) ONEXOX SAG Team – 43.805s
5. Md Firdaus Md Hamdan (SEL) ELF Koyoko Honda KC Racing Team – 43.818s
Wira (Kumpulan A)
1. Md Aliff Danial Md Asri (JHR) Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing – 43.666s
2. Akif Hakimi Zainuddin (SEL) Wiramuda V-Fiertech Academy Racing – 44.171s
3. Md Izzat Md Raduan (NS) ONEXOX SAG Team – 44.206s
4. Md Adib Md Asri (JHR) ELF Koyoko Honda KC Racing Team – 44.452s
5. Md Idlan Haqimi Raduan (NS) Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing – 44.536s
Wira (Kumpulan B)
1. Md Norhakim Norhafizullah (KTN) ONEXOX SAG Team – 43.975s
2. Md Haziq Rosmaza (KUL) Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing – 44.053s
3. Md Amier Rossi Amidi (PHG) Super KIP Motorsports – 44.158s
4. Md Afizad Supaat (SEL) Super KIP Motorsports – 44.204s
5. Md Adam Haikal Jahar (JHR) Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing – 44.242s

