“Sudah tentunya satu kemenangan yang cukup bermakna selepas lama menunggu untuk merangkul gelaran, apatah lagi, ketika Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix meraih 3 dekad dalam arena sukan permotoran. Namun, perjalanannya tidak semudah atau seindah yang kita nampak dengan mata kasar, “kata, pelumba Petronas Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Md Akid Aziz yang memahat nama selaku juara keseluruhan kelas elit MCP, CP150, pada musim lalu.
Berkelana di sukan permotoran dua roda yang berprestij kebangsaan ini selama 12 tahun, Akid mengakui musim 2023 cukup mencabar untuk ditempuhi sebelum menjejaki podium itu selaku juara keseluruhan. Kompilasi jentera yang kurang memuaskan pada musim lalu membuatkan pelumba berusia 26 tahun itu terpaksa membanting tulang.
“Saya tidak dapat ungkapkan perasaan saya ketika itu. Terlampau banyak pengubahan sejak musim membuka tirai sehinggalah tamatnya saingan dan ia adalah satu musim saya tidak akan lupakan. Sebenarnya, saya rasa masalahnya dari ‘body’ jentera saya. Disebabkan body yang kurang sesuai terutamanya di bahagian hadapan ia menyebabkan gangguan dari segi ‘suspension’. Setiap kali trek baharu setiap kali kena buat perubahan yang sesuai namun ia masalahnya itu masih tidak dapat diselesaikan.
“Saya juga telah mengubah cara menunggang sebanyak mungkin dan sebaik-baiknya. Namun tidak membuahkan hasil. Walaupun saya berjaya mencatat kemenangan namun kepuasan yang saya sudah menampilkan aksi terbaik itu tak dapat dirasa. Bagaimanpun saya tetap tidak berputus asa dan sentiasa berkomunikasi dengan pasukan untuk kita dapat memastikan jentera itu sempurna agar keputusan yang lebih positif dapat dilihat.
“Apapun saya perlu berterima kasih kepada pasukan. Mereka telah bertungkus lumus memastikan jentera saya berada pada tahap terbaik walaupun ada masalah yang tidak dapat dielakkan untuk saya mengharungi setiap pusingan dengan selamat. Bukan itu sahaja, mereka juga sentiasa beri sokongan moral dan pastikan kami pelumba selesa, tenang menghadapi setiap saingan.
Apabila adanya sesuatu kejohanan ataupun ujian, sebagai peminat ataupun orang di luar sana, hanya kemenangan atau kekalahan akan menjadi sajian kepada matanya, namun, keringat di sebalik setiap pencapaian itu tanpa mengira apa jua keputusan selalunya tidak menjadi keutamaan.
Musim yang diharungi Akid cukup simbolik dengan kenyataan ini apabila beliau berjaya menjejaki podium sebanyak 9 kali dari 10 pusingan, yang jelas kepada orang di luar sana adalah hanya kemenangan tetapi sebaliknya keadaan jentera yang menyukarkan tunggangannya tidak. Kejayaan mengendali situasi ini adalah bakat tersirat yang harus dipuji.
Kini kembali beraksi dengan azam baharu bagi musim 2024, pelumba kelahiran ibu kota itu teruja bukan sahaja untuk membuka tirai saingan malah juga menguji jentera dengan pembaharuan yang lebih baik.
“Bagi musim ini ‘body’ jentera saya sudahpun ditukar namun saya belum mencuba lagi bagaimana keadaannya. Pada hari ‘testing’ tempoh hari saya tak test jentera saya sendiri, jadi, pada minggu perlumbaan baru boleh uji. Pada masa yang sama, ada pelarasan baharu bagi musim ini. Jadi, Litar Jasin akan menjadi venue pertama bagi saya untuk menguji jentera dan juga pelarasan bagi musim ini.
“Bukan itu sahaja, jika saya berjaya meraih podium di Jasin nanti ia adalah podium saya pertama di sana. Musim lalu, Jasin merupakan satu-satunya litar yang saya gagal meraih sebarang mata dan juga saya tidak dapat mengakhiri saingan di kelompok tiga teratas. Jadi kita lihat nanti macam mana.
“Tekanan beraksi selaku juara bertahan itu memang ada tetapi ia adalah sesuatu yang normal bagi setiap pelumba. Saya tidak mahu terlalu fikir ke depan, azam itu ada dan jika kali ini juga rezeki saya untuk mempertahankan gelaran saya, Alhamdulilah.”
Dengan meletakkan sasaran untuk meraih podium pertama di setiap pusingan Akid akan memulakan kejuaaran di Litar Jasin, minggu ini.
Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com
Ikuti kami di Facebook