fbpx

ADIE RINDU NAK MENANG LAGI


“Pelumba muda sambar gelaran sulung musim ini…”

“Adie Putra berjaya mendominasi perlumbaan sengit…”

“Adie kekalkan rentak kemenangan, membuktikan kemampuan…”

“Adie sekali lagi menghadiahkan kemenangan buat pasukan…”

“Adie juara keseluruhan musim 2022…”

“Aaa.. Rindunya waktu itu…..”

2022 menjadi kenangan termanis apabila Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix menjadi saksi kecemerlangan Md Adie Putra Sukarno di kategori Yamaha Petronas Super Series di mana Adie merangkul gelaran juara keseluruhan ketika itu.

Adie bermula digeruni ramai dengan peningkatan yang drastik sejak penyertaannya dalam kategori Yamaha PETRONAS Super Series pada 2021.

Berbekal dengan pengalaman 1 musim, selain pencapaian P2 pada Pusingan 1 musim 2022 Adie memenangi kesemua 7 perlumbaan untuk turut bergelar juara keseluruhan sebelum dinaikkan pangkat untuk melonjak ke kategori CP125 pada Pusingan 9.

Dalam rasa bangga terhadap peluang melalui perjalanan yang tidak semua pelumba dapat merasai, Adie turut meluahkan cabaran besar yang dihadapi.

“Syukur alhamdulillah Adie diberi kepercayaan terus melonjak ke CP125. Saya nekad tidak akan mensia-siakan peluang untuk tahun ini dan akan buat yang terbaik untuk pasukan. Proses pembelajaran juga saya menggandakan demi prestasi serta penguasaan teknik yang lebih baik.”

Antara pencapaian Adie dalam CP125 musim lalu, Adie berjaya meraih 2 kemenangan di Pusingan 6 (Teluk Intan) dan Pusingan 7 (Litar Permotoran Terengganu) dan menduduki tangga ke-8 keseluruhan.

Menjelang pusingan seterusnya yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara), Adie mengimbau kembali ke kekecewaan terhadap permulaan yang kurang baik apabila tidak mampu mencatat sebarang keputusan pada pembuka musim 2022 di litar tersebut.

Adie berkongsi, “Pengalaman yang cukup mencabar… Pada perlumbaan itu, saya terjatuh di selekoh ke-3 berikutan salah seorang pesaing telah melanggar ‘throttle handle’ saya menyebabkan saya hilang kawalan dan tidak dapat menghabiskan perlumbaan.”

“Perasaan saya bercampur baur ketika itu. Ya lah, siapa tidak mahukan permulaan yang baik kan? Kecewa dan sedih itu pasti ada, tetapi ia tidak mematahkan semangat saya kerana itulah yang membuat saya mendahagakan prestasi lebih baik.”

Kali terakhir Adie memenangi perlumbaan di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (Utara), pada Pusingan 6 musim 2022 dalam kategori Yamaha Petronas Super Series yang turut menyaksikannya meraikan kemenangan ke-5 secara berturut-turut.

“Pusingan di Sepang kali ini saya memang ada target kerana di trek ini saya mempunyai banyak pencapaian yang agak baik, saya harap kali ini semua dapat berjalan dengan lancar seperti yang saya sasarkan. Jika dapat mencapai kedudukan podium, ia memang sangat bermakna untuk menebus kekecewaan tahun lalu,” kata Adie.

Dapatkan info terkini di www.malaysiancubprix.com

Ikuti kami di Facebook